Jaguh perseorangan lelaki Malaysia, Lee Zii Jia berharap dapat kembali beraksi dalam saingan US Open yang akan berlangsung pada penghujung Jun ini.
Pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik 2024 itu kini fokus menjalani proses pemulihan kecederaan buku lali.
Kecederaan itu dialami dalam aksi pusingan pertama All England Open 2025 menentang Angus Ng Ka Long pada Mac lalu.
Zii Jia berharap US Open dapat menjadi medan kemunculan semula beliau. Pada masa sama, beliau juga tidak mahu tergesa-gesa kerana mahu memastikan dirinya benar-benar pulih terlebih dahulu.
“Saya harap dapat membuat kemunculan semula dalam saingan US Open, kejohanan bertaraf Super 300 tetapi dengan syarat saya sudah pulih 100%.
“Jika saya rasa ada perkara tidak kena, saya tidak menolak untuk menangguhkan kemunculan semula saya (di gelanggang),” katanya kepada CGTN Sports.
Ini dilihat selari dengan harapan Zii Jia untuk tahun 2025. Juara Thailand Open 2024 itu melihat keutamaan beliau ketika ini ialah menjaga kesihatan fizikal dan mental pada tahap terbaik.
“Buat masa sekarang, menjaga kesihatan fizikal dan mental ialah keutamaan saya,” tambahnya.
Sebelum ini, ramai pemain negara seperti Goh Jin Wei dan Soh Wooi Yik berharap Zii Jia cepat sembuh dan kembali mewarnai gelanggang.