Jaguh perseorangan lelaki Malaysia, Lee Zii Jia berpeluang mendapat tiga ganjaran lumayan seandainya berjaya meraih pingat emas pertama negara dalam Sukan Olimpik 2024.
Temasya Sukan Olimpik 2024 di Paris, Perancis menyaksikan Zii Jia menjadi sandaran pingat negara dalam acara badminton.
Seandainya bekas juara All England 2021 itu berjaya merealisasikan impian meraih pingat emas, nama Zii Jia bukan saja terpahat dalam catatan sejarah negara.
Malah, juara Thailand Open 2024 itu berpeluang menembusi kelompok lima pemain terbaik dunia mengikut ranking Persekutuan Badminton Dunia (BWF). Ini kerana pemenang pingat emas berpeluang mendapat 14,500 mata.
Sementara pemenang pingat perak, pemenang pingat gangsa dan tempat keempat pula masing-masing mendapat 12,500, 11,500 dan 10,500 mata.
Zii Jia juga bakal menerima ganjaran sebanyak RM1 juta di bawah Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM). Di bawah skim ini juga, beliau akan menerima imbuhan tetap bulanan sepanjang hayat sebanyak RM5,000.
Bukan itu saja, Zii Jia juga berpeluang menerima lebih banyak ganjaran daripada pihak swasta. Misalnya, Top Residency menawarkan sebuah pangsapuri mewah di Setia Alam bernilai RM1 juta sebagai hadiah buat pemenang pingat emas pertama Olimpik negara.
Sementara syarikat telekomunikasi redONE pula menawarkan ganjaran RM1 juta kepada pemenang pingat emas Olimpik pertama negara.
Zii Jia bakal memulakan kempen menentang jaguh Sri Lanka, Viren Nettasinghe untuk aksi pertama kumpulan acara perseorangan lelaki pada 28 Julai ini.