Jaguh perseorangan lelaki Malaysia, Lee Zii Jia semakin pulih daripada kecederaan ligamen buku lali kanannya.
Sebelum ini, pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik 2024 mengalami kecederaan tersebut dalam aksi terakhir Kumpulan A BWF World Tour Finals 2024.
Kecederaan tersebut menyebabkan beliau terpaksa melupakan cita-cita mara ke separuh akhir kejohanan tersebut. Susulan itu, ramai orang termasuk jaguh Denmark, Viktor Axelsen mendoakan agar Zii Jia cepat sembuh.
Kini, bekas jurulatih beliau, Wong Tat Meng memaklumkan Zii Jia semakin pulih daripada kecederaan yang dialaminya.
Walau bagaimanapun, juara Thailand Open 2024 itu masih memerlukan masa untuk pulih sepenuhnya sebelum kembali ke gelanggang.
“Dia (Lee Zii Jia) kata dia ada perubahan yang baik tetapi masih ada sedikit bengkak. Tetapi ia tidaklah teruk. Pakar bedah pun beritahu saya, dia makin pulih,” katanya kepada wartawan Astro Arena, Faizal Bazari.
Berita ini dijangka memberi kelegaan kepada ramai peminat badminton negara yang mahu melihat Zii Jia kembali cergas sepenuhnya.
Bekas juara All England 2022 itu bakal menerima sentuhan Yeoh Kay Bin sebagai jurulatih barunya untuk tahun 2025. Kay Bin menggantikan Tat Meng selepas melatih Zii Jia selama 17 bulan.