Lee Zii Jia Tempah Tiket Ke Olimpik
UltraSukan
Team LZJ
Advertisements

Jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia mengesahkan tempatnya ke Sukan Olimpik Paris 2024 pada Julai hadapan.

Pemain kelahiran Kedah ini bakal mengikuti jejak tiga pasangan beregu negara iaitu Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Pearly Tan-M. Thinaah dan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei yang sudah melayakkan diri ke temasya tersebut terlebih dahulu.

Menerusi ciapan daripada pemerhati sukan badminton tanah air, craigansibin, Zii Jia telah berjaya menempatkan diri ke temasya berprestij itu yang akan berlangsung di Paris sekitar empat bulan akan datang.

Advertisements

”Lee Zii Jia secara rasminya melayakkan diri ke Sukan Olimpik #Paris2024. Tahniah @TeamLZJ,” coret craigansibin di laman X beliau.

Menerusi infografik Road To Paris yang dimuatnaik oleh Shuttlehard minggu lalu, pemain berusia 26 tahun itu sudah hampir mengesahkan tiket ke Olimpik dengan berada di kedudukan kesepuluh dan berada dalam kedudukan terbaik untuk layak.

Dengan berita penarikan diri seorang lagi pemain perseorangan negara, Ng Tze Yong dari kejohanan Spain Masters minggu hadapan menyaksikan Zii Jia bakal membawa cabaran negara bagi memburu pingat emas di pentas Olimpik nanti.

Advertisements

Sungguhpun begitu, peluang buat Tze Yong masih belum terkubur dengan hanya kejohanan Badminton Asia Championship (BAC) bakal menjadi pentas buat beliau untuk memungut mata kelayakan sebelum tarikh akhir kelayakan pada 28 April hadapan.

Untuk rekod, ini merupakan penampilan kedua Zii Jia di pentas Olimpik selepas melakukan debut ketika edisi 2020 yang mana beliau mara sehingga peringkat 16 terbaik sebelum tunduk kepada jaguh China, Chen Long.

Sukan Olimpik Paris 2024 akan membuka tirai pada 26 Julai 2024 dengan sukan badminton menjadi sukan yang cemerlang menyumbang pingat buat kontinjen negara sejak beberapa edisi yang lalu.

Advertisements
Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram