Advertisements
Perkembangan Terkini Ng Tze Yong Selepas Cedera Panjang
UltraSukan
UltraSukan
BA Malaysia

Pemain perseorangan negara, Ng Tze Tong mula menunjukan reaksi positif selepas kembali dari kecederaan yang sedikit menggangu perjalanannya bagi musim 2024.

Menurut laporan wartawan Astro Arena, Fina Nasrom yang membuat liputan di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Tze Yong telah pun kembali menyertai sesi latihan selepas menjalani pembedahan sebelum ini.

Walau bagaimanapun, pemain kelahiran Johor itu terpaksa menarik diri dari saingan Spain Masters minggu hadapan atas faktor kecergasan yang masih di tahap yang kurang memuaskan.

“Perseorangan negara Ng Tze Yong sudah memulakan latihan selepas pembedahan kecil berhubung masalah slip disk yang di alaminya. Tze Yong belum cergas sepenuhnya memaksa dia tarik diri dari Spain Masters minggu depan,” tulis Fina Nasrom di laman X.

Menurut laporan Stadium Astro, pengarah kejurulatihan BAM, Rexy Mainaky mengesahkan bahawa Ng Tze Yong bakal menarik diri dari kejohanan Spain Masters sekaligus membayangkan perjalanan sukar buat pemain itu merebut tempat ke Sukan Olimpik Paris 2024.

“Peluang untuk dia (Ng Tze Yong) ke Sukan Olimpik semakin tipis, kita perlukan keajaiban untuk dia mampu lepas ke Olimpik,” ujar Rexy Mainaky.

Isu kecederaan yang membelenggu pemain berusia 24 tahun ini bermula ketika saingan Petronas Malaysia Open januari lalu yang memaksa beliau menarik diri seawal pusingan pertama.

Tze Yong mula kembali ke gelanggang ketika disenaraikan oleh skuad kebangsaan ke kejohanan Badminton Asia Team Championship (BATC) di Setia Alam namun hanya sempat bermain dua perlawanan sebelum sekali lagi dilanda masalah kecederaan.

Kali ini, naib juara Arctic Open 2023 ini terpaksa menjalani pembedahan kecil yang memaksa beliau berehat panjang dan terlepas beberapa kejohanan seperti Germany Open dan All England yang lalu.

Kini, dengan penarikan diri dari kejohanan Spain Masters, Ng Tze Yong yang berada di ranking ke-17 Race To Paris memerlukan keajaiban yang besar untuk melayakkan diri ke temasya sukan berprestij itu.