Advertisements
Lee Zii Jia Tidak Sertai Korea Masters
UltraSukan
UltraSukan
Olympic Malaysia

Tiada kelibat jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia untuk saingan Korea Masters 2024.

Ini selepas hanya 10 wakil Malaysia yang sah beraksi di kejohanan yang diadakan di Gimnasium Iksan, Iksan City itu.

Beregu lelaki utama negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik mengetuai cabaran beregu lelaki negara. Sementara Justin Hoh dan Kok Jing Hong pula membawa cabaran perseorangan lelaki.

Satu-satunya wakil Malaysia yang beraksi dalam acara beregu campuran ialah Wong Tien Ci dan Lim Chiew Sien. Malaysia tidak mempunyai wakil dalam acara perseorangan wanita dan beregu wanita.

Ramai peminat badminton negara percaya ketiadaan Zii Jia dalam kejohanan ini atas sebab yang kukuh. Ini kerana mereka percaya pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik 2024 itu mahu memastikan dirinya kembali cergas sebelum kembali ke gelanggang.

Sebelum ini, anak jati Alor Setar, Kedah itu terpaksa melupakan saingan Denmark Open 2024 selepas mengalami kecederaan buku lali.

Selain itu, Zii Jia turut dilaporkan mahu fokus kepada dua kejohanan jelajah BWF yang berlangsung pada November ini iaitu Japan Masters 2024 dan China Masters 2024.

Ini kerana sekiranya beliau beraksi cemerlang dalam dua kejohanan itu, maka itu sudah cukup untuk Zii Jia mengesahkan kelayakan ke saingan World Tour Finals yang berlangsung pada Disember ini.

Japan Masters bakal berlangsung dari 12 hingga 17 November ini. Ini disusuli China Masters yang bakal berlangsung dari 19 hingga 24 November.