Malaysian University terpaksa menelan kepahitan setelah ditumpaskan Liaoning Women’s HT dalam perlawanan akhir Piala Vivian May Soars 2024.
Malaysian University yang menyingkirkan Negeri Sembilan di separuh akhir yang lalu bermula baik di awal permainan dengan mengatur serangan ke arah kubu Liaoning.
Pasukan jemputan dari China itu turut menguji gawang Malaysian University, namun aksi cemerlang ditampilkan Siti Zalia Nasir di pintu gol berjaya menafikan percubaan lawan.
Separuh masa pertama tamat tanpa sebarang jaringan.
Kembali dari rehat, kedua-dua pasukan terus merencana gerak bagi memecah kebuntuan jaringan meskipun hujan semakin lebat menuruni venue perlawanan.
Ketika suku ketiga hampir berakhir, penjaring terbanyak Liaoning, Wang Lihang berjaya menjaringkan gol menerusi pukulan sudut penalti yang mengelirukan pemain-pemain Malaysian University.
Anak-anak buah Lailin Abu Hasan terus mengasak bagi mencari jaringan penyamaan dan hasilnya Nor Asfarina Isahyifiqa mudah menyempurnakan penalty stroke untuk mengikat kedudukan 1-1.
Tamat 60 minit permainan, kedudukan 1-1 kekal sekaligus mengheret permainan ke penentuan penalty shootout.
Penentuan penalty shootout berakhir dengan Liaoning muncul pemenang dengan keputusan 3-0 selepas ketiga-tiga pemain Malaysian University tidak berjaya menewaskan Zhao Ying di pintu gol.
Kemenangan Liaoning ini menyaksikan hasrat Malaysian University menutup musim 2024 dengan kejuaraan treble tidak kesampaian
Sebelum ini mereka berjaya menjulang Piala Sumbangsih dan Liga Hoki Malaysia (MHL) kategori Women.