Advertisements
Liga Europa: Liverpool Atasi Cabaran Union Saint-Gilloise
Eropah
MakanBola
Liverpool FC

Liverpool mengekalkan rekod tanpa kalah dalam Liga Europa musim ini selepas menewaskan kelab Belgium, Union Saint-Gilloise dalam aksi kedua Kumpulan E awal pagi ini.

The Reds berharap dapat menggunakan perlawanan ini sebagai cara melupakan kontroversi yang menyelubungi kekalahan 2-1 mereka di tangan Tottenham Hotspur pada minggu lepas.

Sementara USG pula mahu mengutip tiga mata pertama selepas diikat Toulouse dalam aksi pertama kumpulan.

Dominasi Liverpool sebagai tuan rumah terserlah pada babak pertama. Mengikut data Sofascore, tuan rumah menguji penjaga gol pelawat, Anthony Moris enam kali daripada 11 percubaan.

The Reds akhirnya memperoleh gol pendahuluan pada minit ke-44 menerusi Ryan Gravenberch. Bola sepakan Trent Alexander-Arnold gagal ditangkap kemas Moris sekaligus memudahkan pemain Belanda itu menolak bola ke dalam gawang.

Bersambung pada babak kedua, USG berusaha mencari gol penyamaan tetapi tidak berhasil. Sebaliknya, tuan rumah berusaha menambah gol kedua.

Begitupun, mereka perlu menunggu sehingga minit ke-92 menerusi bekas penyerang Wolves, Diogo Jota.

Serangan balas pantas yang digerakkan pemain gantian, Luis Diaz diteruskan oleh Jota sebelum menewaskan Moris.

Keputusan ini membolehkan The Reds mendahului Kumpulan E dengan enam mata selepas dua perlawanan. Kemenangan ini memberi keyakinan kepada mereka bila menentang Brighton pada Ahad ini.