Liga Malaysia kini berpeluang untuk berada pada kedudukan yang ke-3 terbaik di Asia sekiranya prestasi wakil negara terus memberangsangkan di pentas Asia.
Tahun 2023 menyaksikan Malaysia memiliki tiga wakil beraksi di Asia dengan JDT bersaing di pentas Liga Juara-Juara AFC (ACL) sementara Terengganu dan Sabah FC di Piala AFC.
Berdasarkan kemas kini yang dilakukan oleh laman Opta Analyst, Harimau Selatan kini berada di tangga 437 dunia dengan Terengganu dan Sabah masing-masing di tangga ke-2136 dan 2850 dunia.
Malaysia bagaimanapun memiliki peluang yang cerah untuk memperbaiki kedudukan liga di Asia menerusi mata yang dikumpul pada kejohanan Asia kali ini.
Menurut kiraan mata yang dikeluarkan oleh Footy Rankings, JDT berpeluang untuk mendapatkan mata maksimum sebanyak 54 mata di ACL musim ini.
Dua wakil Malaysia di pentas Piala AFC pula berpeluang merebut kira-kira 28.14 mata.
Jumlah pungutan mata ini bakal melonjakkan kedudukan Liga Malaysia hingga ke tangga ketiga di Asia Timur sekaligus menghampiri kedudukan dua negara gergasi rantau ini iaitu Jepun dan Korea.
Ketika ini, Malaysia mengumpul 25.118 mata di tangga ke-5 sementara Thailand ke-4 (41.879), China ke-3 (46.764), Korea ke-2 (71.850) dan Jepun di tangga teratas dengan 76.249 mata.
Perjalanan wakil Malaysia bakal bermula dengan beraksi menentang Kawasaki Frontale di laman sendiri pada 19 September 2023.
Terengganu dan Sabah pula akan berdepan Central Coast Mariners dan Hougang masing-masing pada 20 dan 21 September ini.