Liga Premier: Kuching City Terlalu Gah, Hadiahkan Kekalahan Pertama Buat Kelantan FC
Dunia
MFL
Advertisements

Perlawanan Liga Premier yang menemukan pasukan Kuching City FC selaku tuan rumah dan Kelantan FC berakhir dengan keputusan kemenangan berpihak kepada pasukan Kuching City dengan keputusan 2-1 dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Negeri sebentar tadi.

Perlawanan dimulakan oleh Kuching CIty. Kedua-dua pasukan saling mengatur serangan di awal permainan namun tiada percubaan yang bahaya berjaya dilakukan.

Kuching City hampir mendapatkan gol pendahuluan pada minit ke-9 melalui Yuki Tanigawa namun tadukan beliau tersasar.

Advertisements

Pada minit ke-13, Abu Kamara hampir saja menjaringkan gol buat Kuching City namun rembatan derasnya meliar walaupun hanya berdepan situasi satu lawan satu dengan penjaga gol Kelantan FC, Nik Amin.

Untuk 20 minit yang pertama ini, Kelantan FC dilihat buntu untuk menembusi benteng Kuching City yang dilihat sangat ampuh dan sentiasa bersedia.

Pada minit ke-22 Kuching City mendapat sepakan percuma. Namun sepakan yang diambil Keanu Marsh-Brown itu berjaya ditepis Nik Amin.

Advertisements

Selepas beberapa siri serangan yang dilancarkan, akhirnya Kuching City berjaya mendahului melalui Abu Kamara pada minit ke-25. Ianya bermula dari tendangan sudut Alif Hassan yang mudah disambar Abu Kamara untuk menjadikan kedudukan Kuching City mendahului 1-0.

Kedudukan 1-0 itu hanya bertahan 6 minit apabila Kelantan FC berjaya menyamakan kedudukan melalui kapten mereka Yusri Yuhasmadi. Gol tersebut juga terhasil melalui sepakan sudut menarik dari Shahrul Igwan yang akhirnya ditanduk deras Yusri di ‘far post’. Jaringan Yusri itu berjaya mengikat kedudukan menjadi 1-1.

Alif Hassan berpeluang untuk menjaringkan gol kedua Kuching City pada minit ke-38 melalui sepakan percuma. Namun rembatannya sedikit tersasar di kiri gawang.

Advertisements

Selepas itu, tiada percubaan merbahaya dapat disaksikan dan separuh masa pertama ditamatkan selepas diberikan dua minit masa tambahan. Tiada tambahan gol dapat dihasilkan kedua-dua pasukan menyaksikan kedudukan kekal terikat 1-1.

Bersambung babak kedua, Kelantan FC tidak menunggu lama untuk menguji gawang Kuching City apabila pada minit ke-46, bermula dari Fazrul Amir yang menggelecek beberapa pertahanan Kuching City, seterusnya menghantar bola kepada Nixon namun rembatan Nixon sedikit tersasar.

Pada minit ke-50, Farhan Roslan hampir saja menambah jaringan buat Kelantan namun ianya tidak kesampaian apabila rembatan jarak dekat beliau melambung tinggi melewati palang.

Advertisements

Alif Hassan hampir saja menjaringkan gol buat Kuching City pada minit ke-57 melalui sepakan pecuma. Namun rembatannya berjaya ditepis dengan cemerlang oleh Nik Amin di gawang Kelantan FC.

Penyerang import Kelantan FC, Kervens Belfort mempunyai peluang terbaik untuk menjaringkan gol buat Kelantan FC pada minit ke-64 namun tandukan beliau hanya sedikit tersasar.

Selepas berbalas-balas serangan akhirnya Kuching City berjaya mencari jaringan yang dicari pada minit ke-67. Pemain sayap Kuching City, Shafizi Iqmal melakukan larian solo dari tengah padang, memperdaya beberapa pertahanan dan terus merembat deras untuk gol kedua Kuching City. Kuching City mendahului Kelantan FC 2-1.

Selepas gol tersebut, bola banyak berlegar di tengah padang. Suhu perlawanan menjadi lebih hangat apabila banyak kekasaran yang dilakukan oleh kedua-dua pasukan.

Pada minit ke-83, Natanael Siringoringo hampir menjaringkan gol penyamaan buat Kelantan FC namun rembatan kaki kiri beliau dihadang pertahanan dan bola diselamatkan Wan Azraie di gawang Kuching City.

Dalam waktu kecederaan, Natanael Siringoringo sekali lagi punyai peluang untuk menyamakan kedudukan buat Kelantan FC. Namun rembatannya meliar ke kiri gawang Kuching City.

Perlawanan ditamatkan dengan kedudukan kekal memihak Kuching City 2-1 menewaskan Kelantan FC. Ini merupakan perlawanan pertama dan juga kemenangan pertama Kuching City selepas beberapa perlawanan ditunda gara-gara virus covid-19. Manakala ini merupakan kekalahan pertama Kelantan FC selepas empat perlawanan Liga Premier.

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram