Pengendali Kuching City FC, Aidil Sharin Sahak masih belum berpuas hati dengan kemenangan yang dicatatkan oleh anak buah beliau pada Rabu.
Pandangan itu dibuat bekas jurulatih Kedah itu sesudah Kuching City menewaskan pasukan Lembah Klang, KL City 6-0 selepas tumpas 0-3 kepada juara bertahan, JDT dalam aksi Piala Sumbangsih 2026-27 di Stadium Sultan Ibrahim.
Menurut Aidil Sharin, beliau menyayangi pemain-pemain Kuching City yang beliau pilih pada musim ini untuk beraksi bersama The Cats dan menyifatkan kelab ini bukan sekadar pasukan pelengkap liga.
“Orang mungkin berkata, “Kamu sudah dapat tiga mata, kenapa masih tidak berpuas hati?” Bagi saya, saya sayangkan pemain-pemain ini. Mereka semua adalah pemain yang saya pilih dan saya mahu mereka menjadi lebih baik dari semasa ke semasa.”
“Saya datang ke sini bukan sekadar menjadi penumpang atau hanya untuk mengambil bahagian dalam liga. Saya datang untuk sentiasa membuktikan kepada kelab dan para penyokong yang datang memberikan sokongan bahawa kami mahu sentiasa berada pada tahap terbaik. Jadi, jangkaan saya sentiasa tinggi.”
Selain itu, beliau turut memaklumkan pasukan ini masih belum lengkap dan di Kuching tidak mempunyai kelab elit untuk diuji ketika pramusim lalu.
“Dari segi prestasi, skuad ini masih belum lengkap. Kita perlu jujur, Kuching tidak mempunyai banyak pilihan pasukan berkualiti tinggi di Sarawak, jadi kami sentiasa perlu keluar mendapatkan pemain dan apabila kami berbuat demikian, ia melibatkan kos dan perbelanjaan yang besar,” kata beliau ketika sidang media selepas aksi bertemu KL City pada Rabu.
Selepas ini, Kuching City akan berkunjung ke Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi untuk menentang pendatang baharu liga, Kelantan RW pada 29 Ogos ini.