Piala Sumbangsih: “Pasukan Ini Masih Baharu” – Aidil Sharin
MakanBola
Kuching City FC

Pengendali Kuching City FC, Aidil Sharin Sahak mengakui anak buahnya belum menemui rentak terbaik dalam aksi Piala Sumbangsih menentang Johor Darul Ta’zim (JDT).

Pandangan itu dibuat jurulatih Singapura itu selepas melihat Kuching City tewas 3-0 di tangan juara bertahan itu di Stadium Sultan Ibrahim (SSI).

Aidil percaya perkara ini berlaku kerana sebahagian pemain terlepas menyertai program pramusim The Cats di Chiangmai, Thailand pada Julai lalu akibat beberapa isu termasuk masalah visa.

Pada masa sama, bekas jurulatih Kedah itu percaya Kuching City akan tampil lebih baik selepas ini. Keyakinan itu dizahirkan Aidil kerana aksi itu membantu The Cats mengenal pasti ruang penambahbaikan yang diperlukan untuk aksi berikutnya.

“Saya fikir para pemain sudah berikan yang terbaik. Malam ini, kita kena kenal pasti kesilapan dan jadi lebih baik sebab pasukan (barisan pemain) kita masih baharu.

“Sesetengah sudah mengharungi pramusim dengan sesetengah lagi tidak dapat kerana berdepan beberapa masalah. Ini satu perkara kita perlu belajar dan saya fikir pasukan (barisan pemain) masih baharu. Saya fikir kita akan jadi lebih bagus selepas beberapa perlawanan,” katanya selepas perlawanan.

Kekalahan ini menyaksikan JDT melakar rekod baru dunia menerusi rekod perlawanan tanpa kalah terpanjang dengan 109 perlawanan. Harimau Selatan turut menjulang trofi Piala Sumbangsih buat kali kesembilan berturut-turut.

Selepas ini, Kuching City akan bertandang ke Cheras untuk menentang Kuala Lumpur City FC (KL City FC) pada 26 Ogos ini.