Perlawanan minggu pertama Liga Super menyaksikan aksi Johor Darul Ta’zim (JDT) menentang Kuching City FC di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) merekodkan kehadiran tertinggi.
Aksi tersebut menyaksikan kehadiran 32,372 orang. Perlawanan ini bukan saja menyaksikan JDT menjulang trofi Piala Sumbangsih sebagai trofi pertama musim 2026/27.
Malah, kejayaan Harimau Selatan menewaskan Kuching City 3-0 menyaksikan pasukan itu kini memegang rekod siri perlawanan tanpa kalah terpanjang di dunia dengan 109 perlawanan.
Aksi Terengganu FC menetnang Melaka FC merekodkan kehadiran kedua tertinggi iaitu 6,550 orang. Penyokong di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) ceria apabila Peteh menewaskan Melaka 3-0.
5,309 orang pula hadir menyaksikan perlawanan antara Kelantan Red Warrior FC (KRW FC) dan Selangor FC. Meskipun tuan rumah tewas 4-1, Philip Dandada Musa menceriakan penyokong Kelantan RW dengan menyumbat gol sulung pasukan itu dalam Liga Super.
4,526 orang pula ceria melihat Sabah FC mengatasi cabaran Star City FC di Stadium Likas. Dane Ingham, Darren Lok dan Park Jung-bin mencetak gol buat Sabah dengan Rafael Vitor menyumbat gol saguhati buat pelawat.
Stadium Bandaraya merekodkan kehadiran 1,306 orang penyokong untuk aksi Penang FC dan DPMM FC. Aksi di sebelah petang tidak menghalang DPMM meraih kemenangan tipis 1-0.
Satu-satunya aksi tidak berlangsung ialah aksi antara Negeri Sembilan FC dan Kuala Lumpur City FC (KL City FC). Keputusan status aksi tersebut kini bakal diputuskan oleh Malaysian Football League (MFL).
Selepas ini, aksi diteruskan dengan dua aksi pada 26 Ogos membabitkan JDT menentang Kelantan RW dan KL City menentang Kuching City. Ini disusuli aksi kedua liga bakal berlangsung pada 28 hingga 30 Ogos ini.