Aksi Liga Super membabitkan Negeri Sembilan FC dan Kuala Lumpur City FC (KL City FC) yang sepatutnya berlangsung pada Sabtu telah ditunda.
Perkara itu disahkan Malaysian Football League (MFL) menerusi satu kenyataan di semua platform rasmi pengelola Liga Malaysia (Liga M) itu.
MFL mengambil keputusan itu selepas menerima makluman daripada KL City bahawa 15 pemain dan dua pegawai pasukan mengalami penyakit influenza.
“Kuala Lumpur City FC dalam permohonan rasmi itu menyatakan 15 pemain dan dua pegawai pasukan telah mengalami simpton demam, batuk, selsema dan cirit-birit menerusi surat laporan perubatan kepada MFL.
“Menurut kelab itu, kesemua pemain dan pegawai akan dirujuk ke Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Petaling untuk rawatan lanjut memandangkan penyakit itu mudah merebak dan memerlukan masa bagi tujuan pemulihan.
“Setelah menilai permohonan serta keadaan yang dihadapi Kuala Lumpur City FC, MFL memutuskan bahawa perlawanan itu tidak dapat dilangsungkan bagi memastikan aspek kebajikan dan kesihatan pemain serta pegawai pasukan diberikan keutamaan,” kata MFL dalam satu kenyataan.
Pengumuman MFL ini sekali gus menjawab sebab KL City berdepan masalah tidak cukup pemain untuk perlawanan itu seperti yang dilaporkan wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.
MFL kini akan merujuk status perlawanan itu ke peringkat Ahli Lembaga Pengarah MFL untuk penentuan status aksi Sang Rusa dan The City Boys.