Dua insiden kad merah antara insiden yang berlaku dalam kemenangan DPMM FC ke atas Penang FC di Stadium Bandaraya, George Town.
Kedua-dua pasukan berharap dapat membuka kempen Liga Super dengan kemenangan. Penang memburu kemenangan lebih-lebih lagi dengan kelebihan beraksi di hadapan penyokong sendiri.
Penyerang Brazil, Dalberto Luan menjadi peledak utama DPMM. Jarvey Gayoso dan bekas penyerang kebangsaan, Shahrel Fikri Md. Fauzi mengetuai serangan tuan rumah.
Separuh masa pertama menyaksikan kedua-dua pasukan saling menyerang untuk memburu gol pendahuluan. Dalberto hampir meletakkan DPMM di hadapan pada minit ke-11 tetapi percubaannya terkena palang.
Bekas pemain pertahanan Selangor FC, Fazly Mazlan menjadi pemain pertama dilayangkan kad merah untuk musim 2026/27. Pada awalnya, Fazly hanya dilayangkan kad kuning selepas melakukan kekasaran terhadap pemain DPMM.
Walau bagaimanapun, pegawai VAR, Faizudin Ismail meminta pengadil, Afdzal Hilmi Zulkiflee menyemak semula insiden itu di monitor.
Selepas Fazly didapati melakukan kesalahan menghalang pemain DPMM menjaringkan gol, kad merah dilayangkan ke atas beliau. Insiden sama turut dikongsikan wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi.
Faith Obilor kemudiannya menyangka telah meletakkan Penang di hadapan pada minit akhir separuh masa pertama. Walau bagaimanapun, gol itu dibatalkan selepas pemain Penang dikesan mengasari penjaga gol DPMM, Haimie Abdullah Nyaring.
Kesukaran kedua-dua pasukan mencari gol pembukaan memastikan keputusan 0-0 kekal sehingga rehat separuh masa.
Bersambung pada babak kedua, Penang yang dibimbing Wan Rohaimi Wan Ismail terpaksa bertahan dengan sekali-sekala melancarkan serangan balas.
Melihat DPMM masih goyah meskipun beraksi dengan 11 pemain, beliau memasukkan bekas penyerang Kuala Lumpur City FC (KL City FC), Suhaimi Abu sebagai pemain gantian.
Tatkala Sang Harimau Kumbang ghairah mencari peluang menjaringkan gol, gawang tuan rumah bocor pada minit ke-63. Miguel Oliveira menyudahkan serangan balas DPMM yang menewaskan penjaga gol Penang, Ramdhan Hamid.
Kem DPMM kemudiannya muram apabila giliran Tommy Mawat Bada pula dilayangkan kad merah 10 minit selepas itu. Tommy dilayangkan kad kuning kedua oleh Afdzal Hilmi selepas dikesan menyiku pemain Penang.
Penang berusaha mencari gol penyamaan tetapi keputusan 1-0 kekal sehingga tamat perlawanan. Keputusan ini menyaksikan DPMM berada di tangga keempat di belakang Terengganu FC dengan tiga mata.
Selepas ini, Sabah FC akan menentang Penang pada 28 Ogos. DPMM pula akan melayan kunjungan KL City FC pada 29 Ogos.