Hatrik pemain berpengalaman, Heberty Fernandes memastikan juara bertahan Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) meneruskan dominasi apabila menundukkan Sri Pahang 3-0.
Skuad kendalian Hector Bidoglio turun dengan kesebelasan terbaik namun tanpa beberapa watak seperti Bergson, Fernando Forestieri dan Jalil Elias.
Keadaan itu tidak menjejaskan pasukan selepas membuka tirai jaringan seawal minit ke-5 menerusi rembatan kencang Heberty Fernandes.
Sri Pahang bagaimanapun terus menggandakan usaha mencari jaringan penyamaan namun beberapa percubaan oleh Kpah Sherman namun tidak tepat kesasaran.
Aksi 45 pertama tamat dengan keputusan 1-0 memihak tuan rumah.
Bersambung babak kedua, kedua-dua pasukan rancak bertukar serangan namun dihampakan dengan kekebalan benteng pertahanan.
Heberty sekali lagi muncul wira buat Harimau Selatan apabila bijak membaca hantaran yang dilakukan oleh Endrick Dos Santos sebelum melepaskan sepakan kencang menewaskan Zarif Irfan.
Kesilapan Zarif ketika menghantar bola ke rakan sepasukan disambar oleh pemain berusia 35 tahun itu sebelum mencetak hatrik pada minit ke-86.
Tambahan masa 5 minit tidak mengubah keputusan perlawanan yang kekal hingga wisel penamat dibunyikan.
JDT kini kekal mendahului carta Liga Super dengan 12 mata dan bakal bertemu Sabah pada 13 Julai 2024 manakala Sri Pahang melayan kunjungan Negeri Sembilan.