Liga Super: Hatrik Shahab Zahedi Bantu JDT Atasi Kelantan RW
MakanBola
Johor Southern Tigers

Empat gol yang dijaringkan penyerang Iran,Shahab Zahedi membantu Johor Darul Ta’zim (JDT) meraih kemenangan besar ke atas Kelantan Red Warrior FC (KRW FC) di Stadium Sultan Ibrahim (SSI).

Selepas muncul juara Piala Sumbangsih, JDT mahu meneruskan momentum positif di gelanggang sendiri. Kelantan RW pula mahu bangkit selepas tewas 4-1 di tangan Selangor FC.

Juan Diego Molina Rodriguez atau Stoichkov membentuk gandingan peledak JDT bersama Jairo da Silva dan Shahab Zahedi. Emmanuel Mbarga menjadi sandaran gol Kelantan RW.

Zahedi membuktikan sentuhannya makin berbisa apabila membuka tirai jaringan seawal minit kedua. JDT kemudiannya membuat pertukaran awal dengan memasukkan La’Vere Corbin Ong menggantikan Shane Lowry pada minit ke-18.

35 minit selepas itu, bekas penyerang Avispa Fukuoka itu meledakkan gol keduanya yang menewaskan penjaga gol pelawat, Amin Faisal Mohd Saidi.

Bek tengah Kelantan RW, Muhammad Mohd Faudzi bernasib malang apabila menjaringkan gol sendiri pada minit akhir separuh masa pertama.

Kelebihan tiga gol memastikan anak buah Xisco Munoz mendahului 3-0 sehingga rehat separuh masa.

Bersambung pada babak kedua, JDT semakin ghairah memburu gol menerusi gandingan Zahedi, Jairo dan Stoichkov.

Giliran Jairo mencetak nama sebagai penjaring pada minit ke-49. Zahedi kemudiannya mencipta hatrik seminit selepas itu sebelum disusuli gol keempat pada minit ke-61.

Kelebihan gol yang selesa mendorong Munoz memberi penampilan pertama kepada bekas pemain Real Sociedad, Jon Landa pada minit ke-59. Landa masuk menggantikan Jonathan Silva.

Kelantan RW yang dibimbing Irfan Bakti Abu Salim berusaha menutup semua ruang bagi mengelak gawang mereka dirobek tuan rumah. Situasi ini mendorong Munoz memasukkan Bergson da Silva dan Nahuel Leiva.

Leiva yang masuk sebagai pemain gantian beberapa minit sebelumnya menyudahkan hantaran Arif Aiman Hanapi untuk gol ketujuh pada minit ke-77.

Tiga minit selepas itu, giliran Eddy Israfilov mencetak nama sebagai penjaring. Gol itu juga memadamkan kehampaan beliau apabila golnya pada separuh masa pertama dibatalkan oleh pengadil.

Arif Aiman melengkapkan malam gemilang JDT di SSI dengan meledakkan gol kesembilan pada minit ke-89. JDT terus memburu jaringan tambahan tetapi keputusan 9-0 kekal sehingga tamat perlawanan.

Selepas ini, Harimau Selatan akan turun menentang Star City FC pada 29 Ogos. Kelantan RW pula akan menentang Kuching City pada hari yang sama.