Johor Darul Ta’zim (JDT) membuka tahun 2026 dengan kemenangan apabila menewaskan Selangor FC 2-0 di Stadium MBPJ.
JDT memburu kemenangan untuk terus bertakhta di puncak liga. Selangor pula memburu kemenangan ke atas Harimau Selatan buat kali pertama sejak 2017.
Ager Aketxe kembali berada dalam kesebelasan utama JDT selepas pulih daripada kecederaan. Chrigor Moraes mengetuai jentera serangan Merah Kuning.
JDT membuka tirai jaringan pada minit ketujuh menerusi gol sendiri Richmond Ankrah. Ankrah bernasib malang apabila tertanduk bola sepakan Nacho Mendez ke gawangnya sendiri.
Tersentak, Selangor kembali mengatur rentak. Merah Kuning hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-16 menerusi Moraes selepas menerima hantaran Faisal Halim.
Bekas penyerang Buriram United itu hampa apabila percubaannya dinafikan penjaga gol kebangsaan, Syihan Hazmi Mohamed.
11 minit selepas itu, giliran Faisal pula mencemaskan benteng JDT. Malangnya, sepakan beliau terkena bahagian tepi gawang.
Selangor berusaha mencari gol penyamaan tetapi keputusan 1-0 kekal sehingga rehat separuh masa.
Bersambung selepas rehat, Selangor memilih Zikri Khalili sebagai pengganti Ankrah. Ini susulan prestasi goyah beliau di bahagian pertahanan pada separuh masa pertama.
Kesukaran JDT menambah gol mendorong Xisco Munoz memasukkan Bergson da Silva sebagai pengganti Manuel Hidalgo.
Harimau Selatan kemudiannya memasukkan Matt Davies menggantikan Shahrul Saad. Matt dibawa masuk selepas bek tengah Harimau Malaya itu mengalami kecederaan ketika mengejar Faisal.
Selangor berusaha mencari gol penyamaan tetapi gagal. Sebaliknya, Bergson memastikan keputusan 2-0 menerusi gol pada minit ke-92. Keputusan ini menyaksikan JDT kekal menerajui liga dengan 39 mata.
Selangor pula jatuh di tangga keempat dengan 25 mata, tiga mata di belakang Kuching City FC dan KL City FC.
Selepas ini, JDT akan menentang Negeri Sembilan di Paroi pada 9 Januari. Selangor pula akan menentang Brunei DPMM FC di Bandar Seri Begawan pada 10 Januari.