Dua gol Bergson da Silva membantu Johor Darul Ta’zim (JDT) mengukuhkan cengkaman di persada Liga Super dengan menewaskan DPMM FC di Stadium Sultan Ibrahim (SSI).
Aksi ini sepatutnya diadakan di Stadium Sultan Hassanal Bolkiah, Bandar Seri Begawan. Meskipun begitu, situasi jerebu di Borneo terutama di Brunei mendorong venue perlawanan diubah ke SSI.
Bekas penjaga gol Selangor FC, Samuel Somerville membuat penampilan pertama bersama DPMM. Bergson dan Shahab Zahedi menjadi sandaran gol jurulatih JDT, Xisco Munoz.
Sebaik perlawanan bermula, gandingan Bergson, Zahedi, Nahuel Leiva dan Arif Aiman Hanapi berusaha mencari gol awal buat tuan rumah.
Meskipun begitu, DPMM mempamerkan corak permainan disiplin dan formasi 5-4-1 untuk menyerap asakan tuan rumah. Ini memaksa JDT terpaksa menunggu sehingga minit ke-38 untuk membuka tirai jaringan.
Pada awalnya, gol Bergson pada minit tersebut dibatalkan kerana ofsaid. Walau bagaimanapun, gol tersebut kemudiannya dikira selepas disemak oleh pegawai VAR, Mohd Hafizuan Mohd Khair.
Dua minit kemudian, Bergson sekali lagi merobek gawang DPMM. Selepas berjaya mengatasi cabaran pemain pelawat, Arif Aiman melorongkan bola yang disudahkan penyerang naturalisasi Malaysia itu menewaskan Somerville.
DPMM menyangka gawang mereka dirobek buat kali ketiga oleh Bergson pada minit akhir babak pertama. Walau bagaimanapun, gol itu tidak dikira sekali gus memastikan keputusan 2-0 kekal sehingga rehat.
Bersambung pada babak kedua, JDT terus meningkatkan tekanan ke atas benteng DPMM untuk memburu gol tambahan.
Hal ini memaksa barisan pertahanan pelawat diketuai Nick Swirad bekerja keras mematahkan setiap ancaman tuan rumah. Munoz kemudiannya memasukkan Stoichkov dan Nacho Mendez untuk menambah kreativiti di bahagian serangan.
DPMM pula bertindak memasukkan bekas pemain Kelantan The Real Warriors FC (KTRW FC), Farris Izdiham Awang Kechik dan Jordan Murray untuk memburu gol.
JDT kemudiannya memasukkan Jairo da Silva untuk menyokong Bergson dan Stoichkov memburu jaringan tambahan. Hasilnya, pemilik nama Juan Diego Molina Martinez itu meledakkan gol pertamanya untuk tuan rumah pada minit ke-77.
JDT terus memburu gol tambahan tetapi keputusan 3-0 kekal sehingga tamat perlawanan. Keputusan ini menyaksikan Harimau Selatan kekal di puncak dengan 12 mata.
Selepas ini, JDT akan menentang Negeri Sembilan FC pada 11 September. DPMM dan Sabah FC pula akan berentap dalam aksi setempat Borneo di Stadium Likas pada 13 September.