Liga Super: MFL Pinda Venue DPMM vs JDT
MakanBola
DPMM FC & Johor Southern Tigers

Pihak Malaysian Football League (MFL) & Brunei DPMM mengumumkan perubahan venue bagi perlawanan Liga Super minggu ke-4 2026-27 melibatkan kelab tersebut vs Johor Darul Ta’zim (JDT) yang dijadual berlangsung pada 4 September ini.

Menurut kenyataan rasmi, perlawanan tersebut yang asalnya dijadualkan berlangsung di Stadium Negara Hassanal Bolkiah ini bakal dipindahkan ke arena JDT, Stadium Sultan Ibrahim atas faktor tertentu.

Perubahan venue ini dibuat selepas kawasan stadium di negara tersebut mengalami jerebu melampau sejak kebelakangan ini.

Menurut MFL, pengelola liga itu telah mengemaskini jadual aksi antara Harimau Selatan dan Brunei DPMM pada 4 September ini atas isu cuaca semasa.

“Malaysian Football League telah mengemaskini jadual bagi perlawanan-perlawanan Unifi Liga Super 2026-2027 dan menerima persetujuan bersama daripada kelab-kelab yang terlibat berikutan situasi jerebu yang semakin membimbangkan di Sarawak dan Brunei,” kata MFL dalam satu kenyataan di laman media sosial milik mereka.

Selain itu, Brunei DPMM turut memaklumkan tentang perubahan venue aksi tersebut pada Rabu.

“Perlawanan Liga Super kami menentang Johor Darul Ta’zim pada Jumaat ini akan dipindahkan ke tempat lawan dan berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, susulan keadaan jerebu yang berterusan di Bandar Seri Begawan.”

“Para penyokong yang telah membeli tiket bagi perlawanan yang ditangguhkan menentang Terengganu FC boleh menggunakan tiket yang sama untuk perlawanan di laman sendiri kami yang seterusnya di Stadium Nasional Hassanal Bolkiah.”

“Kami memahami kekecewaan yang mungkin timbul akibat perubahan ini, khususnya dalam kalangan para penyokong yang telah menantikan kepulangan pasukan untuk beraksi di laman sendiri. Namun begitu, kesihatan dan keselamatan semua pihak yang terlibat kekal menjadi keutamaan kami.”

“Kami amat menghargai pemahaman, kesabaran dan sokongan berterusan daripada semua penyokong,” kata Brunei DPMM dalam satu kenyataan.

Langkah ini dilihat sebagai usaha memastikan kualiti perlawanan kekal berada pada tahap terbaik selain mengutamakan faktor keselamatan serta keselesaan pemain kedua-dua pasukan.