Johor Darul Ta’zim (JDT) berjaya menundukkan pasukan UM-Damansara dalam perlawanan timbal balik pertama pusingan 16 Piala FA pada Selasa.
Perjalanan JDT dalam mempertahankan kejuaraan Piala FA menyaksikan skuad Harimau Selatan ini berhasil mengatasi cabaran pasukan Liga A1 Semi Pro, UM Damansara United dengan keputusan 4-1.
Gandingan Jairo Da Silva dan Manuel Hidalgo menjadi taruhan JDT bagi menggempur kubu lawan manakala UM Damansara pula turun diketuai oleh bek tengah, Hariz Mansor.
Seperti dijangka, pasukan tuan rumah, JDT ini tampak selesa mengawal sebahagian besar permainan sehingga dapat memperoleh gol seawal minit ke-5 menerusi sepakan penalti pemain import dari Brazil iaitu Jairo Da Silva.
Selepas itu, gawang UM Damansara sekali lagi bolos selepas pemain baru JDT yang diumumkan pada Isnin berjaya menjaringkan gol pada minit ke-29.
Manuel Hidalgo merobek gawang UM-Damansara buat kali ketiga pada minit ke-42 sekali gus memastikan JDT selesa di hadapan dengan 3 gol.
UM-Damansara turut melakukan serangan dan beberapa percubaan berbahaya pada penghujung separuh masa pertama namun ketangkasan pertahanan JDT harus diberi pujian.
Separuh masa pertama tamat, UM Damansara United 0-3 JDT.
Bersambung babak kedua, serangan tanpa henti dilancarkan oleh jentera serangan JDT ke arah gawang UM Damansara bagi mencari gol tambahan sekali gus memastikan tempat di suku akhir Piala FA menjadi milik mereka.
Usaha skuad Harimau Selatan itu berjaya membuahkan hasil pada minit ke-54 apabila Manuel Hidalgo sekali lagi mencipta nama selaku penjaring pada aksi ini.
Pemain naturalisasi Malaysia itu tampak semakin berbisa bersama Harimau Selatan sebelum menyarung jersi Harimau Malaya pada masa akan datang.
Amirul Akmal menghadiahkan gol saguhati buat pasukan UM-Damansara selepas berjaya menjaringkan gol pada masa kecederaan babak kedua perlawanan.
Gol tersebut kekal sehingga tamat separuh masa kedua perlawanan. Aksi di Stadium Sultan Ibrahim berakhir dengan keputusan 4-1 memihak JDT.