Johor Darul Ta’zim (JDT) melakar kemenangan besar ke atas KL City dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim.
Satu lagi kemenangan dilakar oleh JDT dalam saingan Liga Super apabila tampil cukup bertenaga ketika mengalahkan KL City 7-0 pada perlawanan yang didominasi oleh pasukan tuan rumah.
Sentuhan Ajdin Mujagic jadi taruhan JDT untuk mengemudi jentera serangan bersama Marcos Guilherme sementara KL City menurunkan barisan utama seperti Safawi Rasid, Kpah Sherman dan Zhafri Yahya.
Suasana di stadium menjadi riuh seawal minit ke-12 apabila sepakan percuma Ager Aketxe terus menerjah ke jaring gol KL City bagi meletakkan JDT mendahului di awal permainan.
Sebelum rehat, Harimau Selatan menggandakan kelebihan dengan jaringan kedua menerusi Oscar Arribas di minit ke-34 yang sekali lagi menewaskan Quincy Kammeraad di pintu gol.
Permulaan babak kedua yang tidak baik buat KL City apabila tonggak pertahanan, Dmytro Lytvyn dilayangkan kad merah pada minit ke-51, sekali gus menambah tekanan buat skuad The City Boys.
Kesempatan itu diambil sepenuhnya oleh JDT bagi mencetak gol apabila Stuart Wilkin dengan pantas menampan hantaran lintang Teto Martin pada minit ke-71 dan menjadikan skor 3-0.
10 minit terakhir perlawanan menyaksikan Teto Martin, Ajdin Mujagic, Eddy Israfilov dan Manuel Hidalgo masing-masing mencatatkan nama sebagai penjaring untuk membantu JDT menang 7-0.
Aksi di Stadium Sultan Ibrahim berakhir dengan keputusan 7-0 memihak JDT