Liga Super: JDT Menang Tipis Ke Atas Melaka
MakanBola
Johor Southern Tigers

Johor Darul Ta’zim (JDT) bangkit daripada kekecewaan tersingkir di suku akhir Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) dengan menewaskan Melaka FC di Stadium Hang Jebat.

Meskipun sudah bergelar juara liga, anak buah Xisco Munoz mahu meneruskan momentum positif dalam liga. Melaka pula turut berkongsi misi sama selepas menewaskan Sabah FC dalam aksi sebelumnya.

Ini diperlihatkan menerusi formasi 5-3-2 yang digunakan jurulatih Melaka, E. Elavarasan. Bergson da Silva pula memburu gol untuk kembali menerajui carta penjaring terbanyak liga.

Separuh masa pertama menyaksikan JDT berusaha mencari gol menerusi Bergson dan Marcos Guilherme.

Hal ini memaksa barisan pertahanan tuan rumah diketuai kapten, Irfan Zakaria bekerja keras menyerap tekanan yang dikenakan jentera serangan pelawat.

JDT terpaksa menunggu sehingga minit ke-44 untuk membuka tirai jaringan menerusi pemain gantian, Ager Aketxe.

Beberapa minit selepas itu, giliran Guilherme mencetak nama sebagai penjaring. Gol bekas pemain V. Varen Nagasaki itu memastikan JDT mendahului 2-0 sehingga rehat.

Bersambung selepas rehat, Harimau Selatan terus memberi tekanan kepada Melaka untuk memburu gol tambahan.

Tuan rumah cuba memperkemaskan rentak dengan memasukkan Aiman Danish Abdul Azim dan Che Rashid Che Halim sebagai pemain gantian.

Perubahan tersebut menyaksikan Melaka merapatkan jurang gol menerusi pemain tengah Bosnia-Herzegovina, Dino Kalesic pada minit ke-73.

Situasi itu mendorong jurulatih JDT, Xisco Munoz memasukkan Ajdin Mujagic dan Manuel Hidalgo untuk menambah ketajaman jentera serangan pelawat.

Melaka berusaha mencari gol penyamaan tetapi keputusan 2-1 kekal sehingga tamat perlawanan. Keputusan ini menyaksikan JDT terus menerajui liga dengan 64 mata.

Selepas ini, Melaka akan menentang Negeri Sembilan FC pada 3 Mei. JDT pula akan menentang Kuala Lumpur City FC (KL City FC) pada 2 Mei sebelum mengalihkan fokus kepada separuh akhir Shopee Cup.