JDT Juara Liga Super Kali Ke-12, Tewaskan DPMM
MakanBola
Johor Southern Tigers

Johor Darul Ta’zim (JDT) mengesahkan kejuaraan Liga Super buat kali ke-12 berturut-turut dengan menewaskan Brunei DPMM FC di Bandar Seri Begawan.

Anak buah Xisco Munoz memerlukan satu kemenangan untuk meraih gelaran juara liga. DPMM pula berharap dapat menangguhkan keraian JDT di Stadium Negara Hassanal Bolkiah.

Gandingan Jordan Murray, Syafiq Ahmad dan Hakeme Yazid Said ditagih untuk merobek gawang pelawat. JDT mempertaruhkan penjaring terbanyak sepanjang zaman Liga Super, Bergson da Silva sebagai peledak utama.

Separuh masa pertama menyaksikan JDT berusaha mencari gol awal menerusi Bergson, Ajdin Mujagic dan Ager Aketxe.

Situasi ini memaksa kapten DPMM, Haimie Nyaring berusaha menyekat setiap percubaan jentera serangan Harimau Selatan.

JDT dua kali merobek gawang DPMM menerusi Mujagic dan Antonio Glauder. Malangnya, kedua-dua gol dibatalkan kerana kesalahan ofsaid selepas disemak VAR.

Gol yang dicari Harimau Selatan akhirnya tiba pada minit ke-33. Sepakan percuma Aketxe terus menerjah ke penjuru atas gawang DPMM.

JDT berusaha mencari jaringan tambahan tetapi keputusan 1-0 kekal sehingga rehat separuh masa.

Bersambung pada babak kedua, Munoz memasukkan Marcos Guilherme sebagai pengganti Mujagic. Jurulatih DPMM, James McAllister pula memasukkan Azwan Ali Rahman sebagai pemain gantian.

DPMM menyangka telah meraih gol penyamaan menerusi Hakeme pada minit ke-55. Malangnya, gol itu dibatalkan selepas Murray dikesan berada pada kedudukan ofsaid.

Tatkala DPMM memburu gol penyamaan, Oscar Arribas memastikan JDT memiliki kelebihan dua gol menerusi gol pada minit ke-74.

Tiga minit selepas itu, Guilherme memastikan JDT selesa mendahului menerusi rembatan dari luar kotak penalti. Ini gol kesembilan beliau dalam semua kejohanan sejak menyertai Harimau Selatan.

Bekas pemain Penang FC, Fairuz Zakaria dilayangkan kad merah buat kali kedua musim ini. Ini memaksa DPMM beraksi dengan 10 pemain.

JDT terus meningkatkan tekanan ke arah DPMM tetapi keputusan 3-0 kekal sehingga tamat perlawanan. Keputusan ini sudah cukup untuk mengesahkan Harimau Selatan sebagai juara liga.

Ini trofi ketiga JDT musim ini selepas meraih trofi Piala Sumbangsih dan Piala FA. Kejayaan ini turut menyaksikan JDT layak secara merit ke Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) musim depan selaku juara liga.

JDT kekal menerajui liga dengan 57 mata, 15 mata di hadapan Selangor FC di tangga kedua. DPMM pula kekal di tangga kelapan dengan 21 mata.

Selepas ini, DPMM akan menentang Negeri Sembilan FC pada 12 April. JDT pula dijadual bertemu PDRM FC pada 18 Mac.