Advertisement
Liga Super: Kedah Menang Lagi, Kelantan DN Terus Berduka
Liga Super
MakanBola
Kedah Darul Aman FC

Aksi tumpuan Liga Super pada petang Jumaat menyaksikan Kedah memberikan satu lagi kekalahan buat Kelantan DN

Setelah merekodkan 3 kemenangan sebelum ini, Kedah turun menentang pasukan ke-12 liga, Kelantan DN yang kini masih belum mengutip 3 mata penuh dalam 9 perlawanan terakhir.

Aksi ini pada mulanya dijadualkan berlangsung di Stadium Sultan Muhammad IV, namun oleh kerana proses naik taraf venue masih belum selesai, perlawanan diubah ke Stadium Darul Aman.

Milos Gordic akan menjadi watak penting di jentera serangan Kedah sementara Kelantan menurunkan barisan pemain lokal diketuai oleh Fazrul Amir dan juga Hakimi Abdullah di sebelah sayap.

Seawal minit ke-17, Kedah berjaya memimpin permainan hasil jaringan oleh pemain sayap, Fayadh Zulkifli setelah menerima umpanan lolos cantik sebelum menewaskan penjaga gawang Kelantan.

Seakan tersentak, Kelantan DN cuba bangkit dengan asakan dan gerakan yang dilancarkan oleh Fazrul Amir di sayap kiri namun penyudah Syahir Ab. Rashid sedikit menghampakan.

Separuh masa pertama tamat, Kelantan DN 0-1 Kedah.

Kembali dari rehat, permainan masih dikuasai oleh pasukan Kedah dengan kawalan bola dan hantaran-hantaran pendek yang memaksa Kelantan lebih banyak bertahan di kawasan sendiri.

Victor Andrag membawa masuk dua penyerang, Ebenizer Assifuah dan juga Syafiq Ahmad di pertengahan aksi bagi menambah sengat namun masih belum mampu memberi gol.

Aksi di Stadium Darul Aman berakhir dengan keputusan 1-0 memihak Kedah.

3 mata ini melonjakkan kedudukan Kedah ke tangga ke-6 buat sementara waktu dengan 20 mata manakala Kelantan DN kekal mengutip 7 mata di posisi ke-12 carta Liga Super.

Selepas ini, Kelantan DN akan berehat sebelum berdepan Perak pada 26 Januari manakala Kedah bakal fokus untuk aksi MFL Challenge Cup bertemu PDRM pada 18 Januari.