Penyokong kanak-kanak diberikan kemasukan percuma bagi menonton aksi Kelantan DN vs Kedah di Stadium Darul Aman pada Jumaat.
Kedah bakal turun dalam perlawanan Liga Super minggu ke-18 berdepan Kelantan Darul Naim di Alor Setar dengan Sang Kenari kini menghuni tangga ke-9 carta liga dengan 17 mata.
Aksi ini pada mulanya dijadualkan berlangsung di Stadium Sultan Muhammad IV, namun oleh kerana proses naik taraf venue masih belum selesai, perlawanan diubah ke Stadium Darul Aman.
Lantaran itu, pihak pengurusan Kedah mengumumkan satu inisiatif untuk menarik lebih ramai penyokong ke stadium dengan memberi kemasukan percuma khas untuk kanak-kanak.
”Percuma kepada kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah bagi lelaki dan perempuan bagi perlawanan bertarikh 10hb Januari 2025 (bertemu Kelantan DN),” umum Kedah dalam satu kenyataan.
Sementara, bagi orang dewasa pula, mereka perlu membeli tiket secara atas talian atau pun fizikal dengan kaunter bakal dibuka pada hari perlawanan bermula jam 3.30 petang nanti.
Aksi berdepan Kelantan DN ini amat penting buat Kedah bagi meneruskan rentak positif setelah meraih 3 kemenangan dan 1 keputusan seri dalam 4 perlawanan terakhir Sang Kenari.
Manakala bagi Kelantan pula pastinya mahu bangkit apabila gagal mencatat kemenangan dalam 9 aksi lalu dengan kali terakhir meraih 3 mata ketika menewaskan Negeri Sembilan pada September.
Pertemuan Kelantan DN vs Kedah bakal berlangsung pada Jumaat, 10 Januari ini di Stadium Darul Aman dengan sepak mula tepat jam 5.30 petang.