Kelantan Darul Naim berpotensi mengucapkan selamat tinggal lebih awal kepada 3 pemain import.
Skuad kendalian Park Jae-hong ketika ini berada di tangga ke-12 carta Liga Super, mengumpul hanya 7 mata daripada 16 perlawanan dengan 6 kekalahan berturut-turut sebelum ini.
Malah, Kelantan DN turut tersingkir awal dalam saingan Piala Malaysia dan MFL Challenge Cup apabila tumpas di tangan pasukan Perak dan Selangor sekaligus membuat penyokong hampa.
Lebih memburukkan keadaan, pemain import dari Myanmar, Aung Kaung Mann yang baru menyertai Kelantan DN pada September lalu mengambil keputusan untuk berpindah ke Thailand.
Kaung Mann menyertai kelab liga divisyen 2 Thailand, Phrae United dan telah diumumkan secara rasmi oleh pihak kelab tersebut dalam satu kenyataan yang dikeluarkan minggu lalu.
Terkini, wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam pula melaporkan Oday Kharoub, Michal Jerabek dan Washington Brandao juga berpotensi mengambil keputusan yang sama.
“Selepas Aung Kaung Mann, Kelantan Darul Naim bakal kehilangan Oday Kharoub, Washington Brandao dan Michal Jerabek,” lapor Zulhelmi di laman X.
“Rundingan sedang berjalan untuk (Oday, Washington dan Michal) kekal atau terminate kontrak,” tambah beliau.
Sekiranya mereka bertiga membuat keputusan meninggalkan pasukan, ini sudah pasti menjadi satu tamparan hebat buat Kelantan DN dengan baki saingan liga yang masih panjang.
Kelantan DN dijadualkan menentang Kedah dalam aksi Liga Super pada Jumaat, 10 Januari hadapan di Stadium Darul Aman dengan sepak mula tepat jam 5.30 petang