Jurulatih Kuala Lumpur City FC, Datuk Dollah Salleh mengakui keputusan tewas 0-6 kepada Kuching City FC dalam aksi Liga Super 2026-2027 sememangnya sudah dijangka susulan situasi yang melanda pasukannya.
Kuala Lumpur City berdepan masalah pendaftaran pemain sehingga hanya mampu menurunkan 10 pemain dalam kesebelasan utama dengan seorang pemain sahaja berada di bangku simpanan.
Situasi tersebut jelas memberi kesan kepada perjalanan perlawanan apabila skuad kendalian Dollah terpaksa beraksi dengan kekuatan minimum sejak sepak mula.
Dollah berkata pemainnya sudah memberikan segala yang termampu pada separuh masa pertama meskipun terpaksa bermain dengan 10 orang.
“Sebenarnya, keputusan sudah dijangka, saya dah jangka dengan apa yang berlaku dengan KL City ini,” katanya selepas perlawanan.
Menurutnya, keadaan menjadi semakin sukar pada separuh masa kedua apabila keletihan mula dirasai para pemain selepas memberikan aksi maksimum dalam babak pertama.
“Walaupun kita dah bermain 10 lawan 10, tetapi kita sebenarnya sudah memberikan yang maksimum pada separuh masa pertama, itu yang menyebabkan kita nampak keletihan kepada pemain,” katanya.
Ketiadaan pilihan pemain untuk melakukan pertukaran turut menyukarkan usaha KL City untuk mengubah rentak permainan ketika Kuching City terus memberikan tekanan.
Dollah Salleh menjelaskan pasukannya akhirnya lebih banyak bertahan bagi mengurangkan jumlah jaringan yang mampu dihasilkan Kuching City sehingga tamat perlawanan.