Advertising
Liga Super: Kuching City Bangkit Ikat Penang
MakanBola
Kuching City FC

Penang FC terlepas peluang untuk menambah satu lagi kemenangan apabila diikat Kuching City FC 2-2 di Stadium Negeri, Kuching.

Penang mahu menambah satu lagi kemenangan selepas menewaskan Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) 3-0. Sementara The Cats turut memiliki misi sama selepas menewaskan Perak FC 2-1.

Rodrigo Dias terus menjadi sandaran Akmal Rizal Ahmad Rakhli untuk merobek gawang tuan rumah. Manakala Tchetche Kipre dan Jordan Mintah pula menjadi ayam tambatan Kuching City di bahagian serangan.

Ad

Separuh masa pertama menyaksikan The Cats berusaha merobek gawang pelawat menerusi gandingan Kipre dan Mintah.

Malangnya, tuan rumah apabila setiap percubaan mereka mudah dipatahkan kapten dan bek tengah Brazil, Rafael Vitor yang mengetuai pertahanan Harimau Kumbang.

Ad
Ad

Ketiadaan sentuhan klinikal yang dimiliki barisan penyudah Kuching City dihukum pelawat. Neto Oliveira meletakkan Penang di hadapan menerusi satu rembatan lencong pada minit ke-36.

Ad

Bekas pemain Trem itu berjaya melepasi kawalan beberapa pemain tuan rumah sebelum menewaskan penjaga gol, Shahril Saari.

Kelebihan itu digandakan Dias enam minit selepas itu. Keputusan 2-0 yang dimiliki Penang kekal sehingga rehat separuh masa.

Bersambung pada babak kedua, Kuching City terus berusaha merobek gawang pelawat tetapi terus dihampakan oleh penjaga gol Penang, Sikh Izhan Nazrel.

Keadaan ini mendorong jurulatih The Cats, Aidil Sharin Sahak membuat beberapa pertukaran pemain untuk mengembalikan momentum kepada tuan rumah.

Hasilnya, penyerang gantian, Zaharul Nizwan Joe Kifli @ Zulkeflee merapatkan jurang buat tuan rumah pada minit ke-69. Penyokong Kuching City kemudiannya ceria apabila Kipre meledakkan gol ketiganya dalam musim 2024/25 pada minit ke-78.

Sepakan percuma yang diambil Alif Hassan pada awalnya berjaya ditepis Sikh Izhan. Malangnya, bola tersebut singgah di kaki bekas penyerang KL City FC itu sebelum meledakkan bola ke dalam jaring.

Kuching City hampir menambah gol ketiga menerusi Luiz Fernando Welter pada minit ke-87 selepas menerima hantaran Nur Shamie Iszuan Amin. Malangnya, percubaan beliau pantas disekat Sikh Izhan.

Kedua-dua pasukan berusaha mendapatkan gol tambahan tetapi keputusan 2-2 kekal sehingga tamat. Keputusan ini menyaksikan Kuching City dan Penang masing-masing kekal di tangga kelima dan keenam liga.

Selepas ini, Kuching City bakal bertandang ke Kota Bharu untuk menentang Kelantan DN pada 17 Ogos. Manakala Penang tidak beraksi dalam minggu hari perlawanan seterusnya.