Negeri Sembilan tewas kepada tuan rumah, Kuching City dengan keputusan 2-0 dalam aksi minggu ke-17 saingan Liga Super 2025/26 di Stadium Negeri, Sarawak pada Sabtu.
The Jangs mempertaruhkan Azri Ghani di posisi penjaga gol, Khuzaimi Piee sebagai kapten pasukan, manakala Luqman Hakim menjadi sandaran utama di jentera serangan.
Kuching City pula meletakkan Haziq Nadzli sebagai benteng terakhir, James Okwuosa memimpin pasukan selaku kapten, manakala gandingan berbisa, Gabriel Nistelrooy & Ronald Ngah, dijadikan ayam tambatan serangan.
Kuching City dilihat memulakan perlawanan dengan tempo yang tinggi bagi memburu jaringan pembukaan.
Kuching City meledak gol pertama aksi hasil jaringan cantik oleh anak jati Miri, Gabriel Nistelrooy pada minit ke-10 perlawanan sekali gus memberikan kelegaan kepada kem pasukan beliau.
Ronald Ngah hampir mencipta jaringan kedua menerusi rembatan kencang, namun Azri Ghani bertindak cemerlang untuk menafikan percubaan tersebut.
Memasuki minit ke-35 kedudukan masih didahului oleh pasukan tuan rumah, The Cats dengan satu jaringan.
Luqman Hakim dilihat melancarkan serangan berbahaya untuk mengacau-bilaukan pertahanan Kuching City, namun ketangkasan pertahanan The Cats wajar dipuji kerana berjaya menahan ancaman itu.
Aksi babak pertama tamat dengan keputusan 1-0 memihak kepada pasukan tuan rumah, Kuching City.
Bersambung ke babak kedua, Negeri Sembilan meningkatkan intensiti perlawanan bagi mencari gol penyamaan aksi.
Kuching City tampak terus menerus menguasai perlawanan dengan melakukan lambakan percubaan berbahaya menerusi Ronald Ngah.
Negeri Sembilan turut melepaskan beberapa rembatan kencang menerusi Takumi Sasaki & Jovan Motika namun masih gagal menembusi gawang pasukan The Cats.
Kuching City berjaya merobek gawang Negeri Sembilan buat kali kedua hasil ledakan berbisa penyerang berprolifik, Ronald Ngah Wanja pada minit ke-66 sekali gus memberikan kegembiraan kepada ribuan penyokong sendiri di Stadium Negeri.
Negeri Sembilan dilihat semakin buntu untuk mencari gol pembukaan aksi pada penghujung separuh masa kedua apabila semua gerakan berjaya dipatahkan oleh pertahanan pasukan tuan rumah.
Aksi tamat dengan keputusan 2-0 memihak kepada pasukan tuan rumah, Kuching City.
Kemenangan ini menyaksikan Kuching City melonjak ke tangga kedua liga dengan mengumpul 31 mata selepas 15 perlawanan.
Selepas itu, Negeri Sembilan pula jatuh ke kedudukan kelapan liga dengan 17 mata selepas mengharungi 15 perlawanan buat sementara waktu.