Piala Malaysia: Kuching City Tunjuk Penang Jalan Keluar
MakanBola
Penang FC

Kuching City FC bangkit dalam aksi kedua pusingan 16 Piala Malaysia untuk menempah tiket suku akhir kejohanan itu.

Kejayaan itu dicapai dengan menyingkirkan pasukan utara tanah air, Penang FC di Stadium Negeri, Kuching pada Sabtu.

Penang berpeluang mara ke suku akhir dengan syarat mengekalkan kelebihan agregat 1-0. The Cats pula memburu kemenangan untuk mengatasi kelebihan agregat pelawat dan mara ke suku akhir.

Jurulatih Penang, Wan Rohaimi Wan Ismail mengekalkan Douglas Coutinho sebagai peledak utama. Penyerang baharu Kuching City, Jerome Mpacko Etame pula berada di bangku simpanan.

Separuh masa pertama menyaksikan The Cats cuba mendapatkan gol awal menerusi gandingan Danial Asri, Gabriel Nistelrooy, Ramadhan Saifullah Usman dan Ronald Ngah Wanja.

Kuching City cemas seketika apabila Coutinho membolosi gawang mereka pada minit awal permainan. Walau bagaimanapun, gol tersebut dibatalkan kerana kesalahan ofsaid.

Tuan rumah juga tidak bernasib baik apabila gol Nistelrooy turut dibatalkan akibat kesalahan ofsaid. Ini selepas VAR mengesan James Okwuosa berada di kedudukan ofsaid.

Gol yang dicari The Cats akhirnya hadir dalam tempoh seminit. Gol Nistelrooy dan Ngah Wanja memastikan Kuching City mendahului 2-0 sehingga rehat.

Bersambung pada babak kedua, Kuching City terus menggandakan serangan untuk menambah kelebihan agregat mereka.

Meskipun ketinggalan 2-1 secara agregat, Penang berusaha mencari jalan untuk mengheret perlawanan ke masa tambahan.

Situasi ini mendorong pengendali The Cats, Aidil Sharin Sahak memasukkan Etabe dan Jimmy Raymond untuk memperkemaskan rentak anak buahnya.

Cabaran Penang makin sukar apabila kapten, Stefano Brundo dibuang padang pada minit ke-80. Ini selepas bekas pemain Sri Pahang FC itu mengutip kad kuning kedua.

Keadaan ini memastikan keputusan agregat 2-1 memihak kepada Kuching City sehingga tamat perlawanan.

Keputusan ini menyaksikan pasukan itu akan menentang Brunei DPMM FC di peringkat suku akhir. Penang pula akan meneruskan cabaran dalam MFL Challenge Cup.

Selepas ini, Sang Harimau Kumbang akan menentang Kelantan The Real Warriors FC (KTRW FC) pada 31 Januari. The Cats pula akan menentang Negeri Sembilan FC pada hari yang sama.