Peledak baharu Penang FC, Douglas Coutinho membuat impak segera bersama pasukan itu dalam saingan Piala Malaysia.
Ini kerana gol penyerang berusia 31 tahun itu sudah cukup untuk menewaskan Kuching City FC 1-0 di Stadium Bandaraya.
Coutinho yang tiba secara pinjaman dari kelab Indonesia, Borneo FC pada 16 Januari lalu pantas membuktikan ketajamannya di depan gol.
Bekas penyerang Fortaleza membuat tandukan deras yang menewaskan penjaga gol kebangsaan, Haziq Nadzli pada minit ke-40.
Gol itu bukan saja memberi kelebihan tipis satu gol buat Penang menjelang aksi timbal balik pada 24 Januari.
Malah, Penang terus kekal tanpa kalah dalam semua kejohanan kepada empat perlawanan. Keputusan ini dijangka menambah keyakinan Penang untuk memburu slot ke suku akhir.
Coutinho antara empat rekrut baharu Sang Harimau Kumbang dalam tetingkap perpindahan kedua Liga Super.