Melaka berjaya mengikat pasukan Selangor dengan keputusan 0-0 dalam aksi minggu ke-19 saingan Liga Super musim 2025/26 di Stadium Hang Jebat pada Sabtu.
Selangor membariskan Kalamullah Al-Hafiz di benteng terakhir dengan Faisal Halim menggalas lilitan kapten manakala gandingan Alvin Fortes & Chrigor Moraes sebagai ayam tambatan pasukan.
Sementara itu, Melaka menurunkan Firdaus Irman di posisi penjaga gol dan Shahrel Fikri mengemudi jentera serangan kelab tersebut.
The Red Giants bermula garang dengan melancarkan beberapa serangan ke arah gawang Melaka pada awal separuh masa pertama.
Alvin Fortes melepaskan satu percubaan berbahaya pada minit ke-24 namun rembatan tersebut sedikit tersasar dari gawang yang dikawal oleh Firdaus Irman.
Selepas itu, penyerang tinggi lampai Melaka, Ahmed Shamsaldin hampir meletakkan kelab tersebut berada di hadapan namun ketangkasan penjaga gol Selangor, Kalamullah Al-Hafiz harus diberi pujian.
Memasuki minit ke-35 kedudukan masih terikat tanpa jaringan bagi kedua-dua pasukan meskipun Gergasi Merah tampak menguasai perlawanan babak pertama.
Rembatan kencang Mukhairi Ajmal pada penghujung babak pertama masih gagal menerjah jaring pasukan tuan rumah, Melaka.
Aksi babak pertama tamat dengan keputusan terikat tanpa jaringan bagi kedua-dua pasukan.
Bersambung babak kedua, kedua-dua pasukan tampak saling berbalas serangan bagi mencari gol pembukaan aksi.
The Red Giants semakin menguasai aksi dengan melepaskan beberapa percubaan kencang menerusi bintang sensasi Gergasi Merah, Faisal Halim & pemain gantian, Victor Pernambuco namun ke semua rembatan gagal menepati sasaran gawang Melaka.
Melaka turut melakukan beberapa gerakan lincah berbahaya menerusi Ruventhiran & Shahrel Fikri namun ketangkasan penjaga gol Selangor, Kalamullah Al-Hafiz sekali lagi harus diberi pujian.
Serangan balas Melaka pada penghujung babak kedua masih gagal dimanfaatkan oleh pasukan tuan rumah selepas gerakan tersebut berjaya dipatahkan oleh barisan pertahanan Selangor.
Aksi Liga Super minggu ke-19 di Stadium Hang Jebat antara Melaka & Selangor tamat dengan keputusan terikat tanpa jaringan bagi kedua-dua pasukan.