Piala Malaysia musim 2025/26 menyaksikan JDT menewaskan Melaka 3-1 dalam aksi suku akhir kedua yang berlangsung di Stadium Hang Jebat pada Rabu.
Kemenangan tersebut sekali gus memastikan kemaraan Harimau Selatan ke pentas separuh akhir Piala Malaysia musim ini dengan agregat 8-1.
JDT mempertaruhkan Christian Abad sebagai benteng terakhir, dengan Matthew Davies memimpin pasukan selaku kapten. Di bahagian hadapan, gandingan Joao Figueiredo dan Teto Martin menjadi sandaran utama dalam usaha memburu jaringan.
Melaka pula menurunkan Samuel Somerville sebagai penjaga gol, Shahrel Fikri menggalas tanggungjawab kapten, manakala Ruventhiran diberi peranan utama mengetuai jentera serangan.
Harimau Selatan memulakan perlawanan dengan rentak yang pantas bagi memburu gol tambahan secepat mungkin.
JDT membuka tirai perlawanan dengan penuh bergaya apabila Corbin Ong menjaringkan gol seawal minit ketujuh aksi hasil hantaran lintang cantik oleh penyerang sensasi, Jairo da Silva.
Tersentak dengan jaringan awal itu, Melaka bangkit meningkatkan intensiti permainan. Beberapa gerakan berbahaya berjaya diatur menerusi kombinasi lincah Shahrel Fikri dan Do Dong-hyun dalam usaha memburu jaringan penyamaan.
Sebaliknya, pelawat terus mempamerkan ketajaman penyudah. Harimau Selatan menambah gol kedua pada minit ke-31 menerusi jaringan cantik oleh Jairo da Silva.
Keputusan 2-0 kekal sehingga penghujung babak pertama meskipun kedua-dua pasukan tampak saling berbalas serangan.
Bersambung babak kedua, JDT dilihat terus menerus menguasai perlawanan dengan melakukan lambakan percubaan berbahaya ke arah gawang Melaka.
Jairo da Silva sekali lagi memastikan gawang gol Melaka tewas buat kali ketiga selepas meledak gol pada minit ke-56 perlawanan.
Memasuki minit ke-75 kedudukan masih didahului oleh pasukan pelawat, Harimau Selatan dengan 8 jaringan secara agregat.
Ahmed Shamsaldin menjaringkan gol saguhati buat Melaka menerusi rembatan akrobatik dalam kawasan kotak penalti JDT, hasil hantaran Che Rashid pada masa kecederaan babak kedua.
Aksi tamat dengan keputusan 8-1 secara agregat memihak kepada pasukan pelawat, Harimau Selatan sekali gus memastikan kemaraan JDT ke pentas separuh akhir Piala Malaysia 2025/26 dan dijadualkan bertemu KL City yang mengesahkan kemaraan terlebih dahulu.