Advertisement
Liga Super: Negeri Sembilan Atasi Cabaran Sri Pahang
Liga Super
MakanBola
Sri Pahang FC

Negeri Sembilan FC menunjukkan kesungguhan untuk meraih kemenangan ke atas Sri Pahang FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.

Aksi ini bukan saja peluang buat Tok Gajah membalas dendam ke atas Sang Rusa selepas diaibkan di Temerloh pada 13 Julai 2024.

Malah, ini juga persiapan Sri Pahang sebelum menentang Sabah dalam aksi separuh akhir Unifi Piala Malaysia.

Tok Gajah yang dibimbing Fandi Ahmad menurunkan barisan terbaik diketuai bekas pemain kebangsaan, Fadhli Shas. Kelibat Takumi Sasaki dan Hein Htet Aung menjadi taruhan K. Nanthakumar untuk merobek gawang Sri Pahang.

Separuh masa pertama menyaksikan kedua-dua pasukan berusaha mencari kelebihan gol awal dalam keadaan hujan lebat.

Negeri Sembilan bernasib malang apabila dibolosi seawal minit kelapan hasil gol sendiri Aliyu Abu Bakar. Beliau tertanduk hantaran penyerang Liberia, Kpah Sherman.

Tersentak, Sang Rusa mula mengatur serangan menerusi Sasaki, Htet Aung, Jacque Faye dan bekas pemain sayap Kelantan FC, Ikhwan Yazek.

Tatkala Sri Pahang menyangka dapat membawa kelebihan satu gol sehingga rehat, Htet Aung memastikan kedua-dua pasukan terikat 1-1 menerusi gol pada minit ke-44.

Bersambung selepas rehat, Fandi membuat satu pertukaran pemain dengan memasukkan Azwan Aripin menggantikan Mykola Ahapov.

Usaha Sri Pahang menyekat serangan Sang Rusa tidak berhasil apabila Selvan meledakkan gol kedua tuan rumah pada minit ke-60. Ini gol keempat beliau bersama Negeri Sembilan untuk musim 2024/25.

Situasi ini mendorong Fandi membuat tiga pertukaran pemain serentak pada minit ke-60. Beliau memasukkan Saiful Jamaluddin, Ibrahim Manusi dan Sean Selvaraj untuk membantu Tok Gajah mendapatkan gol penyamaan.

Kesungguhan pelawat mendorong Nanthakumar memasukkan pemain import Korea Selatan, An Sang-su untuk melindungi kelebihan yang dimiliki Sang Rusa.

Sri Pahang terus memberi tekanan ke atas kubu pertahanan Negeri Sembilan tetapi keputusan 2-1 kekal sehingga tamat perlawanan. Ini kemenangan kedua Sang Rusa dalam liga sejak aksi di Temerloh pada Julai 2024.

Selepas ini, Negeri Sembilan akan melayan kunjungan Sabah pada 25 Januari. Sri Pahang pula mengalihkan fokus kepada aksi separuh akhir Unifi Piala Malaysia dengan lawan sama di Stadium Likas pada 18 Januari.