Liga Super: Negeri Sembilan Tuntut 3 Mata Percuma
MakanBola
Negeri Sembilan FC

Pengurusan Negeri Sembilan menuntut 3 mata percuma berikutan aksi menentang KL City tidak dapat dijalankan pada hari ini di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi.

Negeri Sembilan FC dijadualkan bertemu KL City dalam perlawanan pertama Liga Super 2026-27 bagi kedua-dua pasukan pada 22 Ogos 2026 namun pihak KL City gagal mencukupkan jumlah pemain untuk beraksi sekali gus perlawanan dibatalkan.

“Pihak Pengurusan NSFC mengambil maklum keputusan MFL berkenaan ketidaklangsungan perlawanan pada petang ini. Kami amat kesal dengan situasi yang berlaku pada saat-saat akhir ini memandangkan segala persiapan telah disiapkan sepenuhnya dan ia amat mengecewakan ribuan penyokong setia skuad Jang. Oleh itu, pihak kelab dengan tegas menuntut agar kemenangan secara “walkover” diberikan.”

Selepas itu, meskipun perlawanan bertemu KL City tidak dapat dijalankan, pasukan Negeri Sembilan bakal mengadakan sesi latihan rasmi terbuka buat para penyokong petang ini dan pengurusan kelab turut memaklumkan cara untuk menuntut tiket aksi yang dibeli selain memohon maaf atas kesulitan yang berlaku.

“Walaupun perlawanan tidak dijalankan, skuad utama NSFC akan tetap mengadakan sesi latihan di stadium pada petang ini. Sebagai tanda penghargaan, pihak kelab mengalu-alukan kehadiran para penyokong ke stadium untuk menyaksikan sesi latihan ini secara terbuka.”

“Berhubung tiket perlawanan yang telah dibeli, sebarang urusan berkaitan tuntutan semula akan dimaklumkan dari semasa ke semasa. Sila ikuti platform rasmi kelab untuk maklumat lanjut.”

“Kami memohon maaf atas segala kesulitan dan berterima kasih atas sokongan padu anda,” kata Negeri Sembilan dalam satu kenyataan di laman media sosial milik mereka.

Justeru itu, Negeri Sembilan bakal membuka tirai Liga Super 2026-27 dengan menentang Melaka pada 30 Ogos depan di halaman lawan.