Negeri Sembilan Umum Ketibaan Rahman Daud
MakanBola
NSFC

Bekas pemain Selangor II, Abdul Rahman Daud sah menyertai Negeri Sembilan FC bagi musim 2026/2027.

Perpindahan penyerang sensasi berusia 22 tahun itu diumumkan pengurusan The Jangs menerusi satu kenyataan di semua platform rasmi mereka.

“Pihak kelab dengan ini mengumumkan penyerang berbakat, Rahman Daud, secara rasminya telah mengikat kontrak jangka panjang bersama Negeri Sembilan FC sehingga tahun 2029.”

“Dilahirkan di Syria dan memiliki darah kacukan Malaysia-Itali, ketajaman penyudah pemain ini di hadapan gawang terbukti apabila beliau melakar nama sebagai penjaring kedua terbanyak dalam saingan Liga A1 Semi Pro dengan ledakan 24 gol ketika mewakili bekas pasukannya, Selangor FC,” kata kelab dalam satu kenyataan.

Nama Rahman Daud tidak perlu diperkenalkan lagi selepas muncul sebagai penjaring terbanyak tempatan dalam Liga A1 musim lepas menerusi 24 gol hanya di belakang penyerang Kelantan RW, Emmanuel Mbarga.

Rahman menjadi pemain kedua menyertai Negeri Sembilan untuk menghadapi musim 2026/27 selepas Alif Mutalib. Perpindahan beliau ke skuad The Jangs turut mengesahkan khabar angin perpindahan yang bertiup sejak Mei lalu.

Beliau dijangka merebut tempat posisi hadapan bersama Luqman Hakim yang menyertai kelab tersebut pada musim lepas selepas 5 tahun berkelana di luar negara.