Bekas pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) II, Alif Mutalib sah menyertai Negeri Sembilan FC.
Perpindahan pemain sayap berusia 24 tahun itu diumumkan pengurusan The Jangs menerusi satu kenyataan di semua platform rasmi mereka.
“Dari Alor Star ke Tanah Beradat! Negeri Sembilan FC dengan ini mengumumkan ketibaan pemain sayap kanan berusia 24 tahun, Alif Mutalib.
“Lebih mesra dipanggil ‘Kancil’, produk Akademi Mokhtar Dahari (AMD) yang pernah menabur bakti bersama JDT III dan JDT II ini sudah bersedia untuk mempamerkan aksi lincahnya bersama skuad Jang!” kata kelab dalam satu kenyataan.
Sebaik perpindahan beliau disahkan, Alif berharap dapat membuktikan nilainya bersama Negeri Sembilan. “Saya nak buktikan yang saya berhak ada di sini,” katanya.
Alif menjadi rekrut pertama Negeri Sembilan untuk menghadapi musim 2026/27. Perpindahan beliau ke skuad The Jangs turut mengesahkan khabar angin perpindahan yang bertiup sejak Jun lalu.
Alif dijangka mengisi kekosongan yang ditinggalkan bekas pemain Negeri Sembilan, A. Selvan. Selvan meninggalkan The Jangs pada akhir musim lalu dan kini menabur bakti bersama Selangor FC.
Selain Alif, Negeri Sembilan turut bertindak mengekalkan Mio Tsuneyasu selepas pemain Jepun itu beraksi secara pinjaman pada musim lalu.