Liga Super: Penang Akhiri Kemarau Kemenangan, Kalahkan Sri Pahang
Liga Super
Sri Pahang FC
Advertisements

Penang FC akhirnya berjaya mengakhiri kemarau kemenangan mereka dengan menewaskan Sri Pahang FC di Stadium Bandaraya hari ini.

Selepas merehatkan Chong Yee Fat, skuad Harimau Kumbang berharap pemangku jurulatih, Akmal Rizal Ahmad Rakhli mampu mengakhiri kemarau kemenangan mereka sejak April lalu.

Sementara Tok Gajah pula mahu meraih kemenangan hari ini bagi membolehkan mereka mengejar Sabah FC yang menduduki kedudukan empat teratas liga.

Advertisements

Babak pertama menyaksikan Penang bermula dengan garang dan banyak mengasak kubu pertahanan Sri Pahang yang diketuai bek tengah Fadhli Shas.

Bagaimanapun, Sri Pahang terlebih dahulu di hadapan menerusi Rafael Silva pada minit ke-20. Gol terhasil menerusi tolakan mudah melepasi penjaga gol, Haziq Mukhriz Mohamed Hasemuddin.

Keceriaan pelawat tidak bertahan lama. Lima minit selepas itu, penyerang Ireland-Nigeria, tandukan Abdeen Temitope Abdul menyamakan kedudukan buat Penang.

Advertisements

Gol tersebut merupakan gol pertama beliau bersama Harimau Kumbang sejak menyertai pasukan itu pada tetingkap perpindahan kedua lalu. Keputusan 1-1 kekal sehingga rehat.

Bersambung pada babak kedua, permainan semakin rancak dengan kedua-dua pasukan terus menggandakan serangan.

Tok Gajah sekali lagi mendahului pada minit ke-62 menerusi gol cantik Syazwan Andik yang menerjah penjuru bawah jaring.

Advertisements

Bagaimanapun, kelekaan Sri Pahang sekali lagi dihukum tuan rumah menerusi gol kedua Abdeen dua minit selepas itu.

Harimau Kumbang kemudiannya mendahului pada minit ke-70 menerusi sepakan kencang pemain muda Izzat Zikri Iziruddin. Menariknya, gol tersebut merupakan gol pertamanya dalam penampilan pertama dia di Liga Super.

Dengan Penang mendahului di hadapan, Akmal memasukkan Hadin Azman, Adriano Narcizo dan Azmeer Aris Nor Rashid bagi mempertahankan kelebihan mereka.

Advertisements

Kehadiran trio pemain gantian ini memastikan Penang meraih kemenangan pertama dalam liga sejak 8 Julai lalu.

Keputusan ini menyaksikan Sri Pahang kekal di tangga kelima dengan 44 mata. Manakala Penang pula di tangga ke-10 dengan 23 mata.

Kedua-dua pasukan selepas ini bakal berdepan tugas sukar. Tok Gajah bakal melayan kunjungan juara liga, Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC) pada 3 Disember.

Manakala Penang pula melayan kunjungan finalis Piala Malaysia 2023, Terengganu FC pada 3 Disember.

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram