Sepakan jarak jauh Sebastian Avanzini memastikan Penang FC terpaksa berkongsi satu mata dengan Negeri Sembilan FC dalam aksi terbaru Liga Super.
Kedua-dua pasukan mahu bangkit selepas tewas dalam aksi liga sebelumnya. Harimau Kumbang dibelasah Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC) 5-0 dengan Negeri Sembilan pula tumpas kepada Perak FC.
Penang turun tanpa kelibat kapten dan tonggak pertahanan, Rafael Vitor. Sementara Sang Rusa pula diperkuatkan dengan kehadiran bekas pemain import KL City FC, Avanzini.
Negeri Sembilan membuat permulaan pantas dengan mendahului seawal 30 saat menerusi bekas pemain sayap KL City, Hadin Azman.
Sikh Izhan Nazrel menyangka telah berjaya menepis bola yang dihantar oleh A. Selvan. Bola yang ditepis terus singgah di kaki Hadin sebelum melepaskan rembatan deras dari jarak dekat.
Tersentak, Penang kembali memperkemaskan rentak permainan mereka. Rodrigo Dias menceriakan penyokong di Stadium Bandaraya dengan gol penyamaan pada minit ke-14.
Selepas menerima hantaran Nik Akif Syahiran Nik Mat, Dias bijak mengawal bola sebelum menewaskan penjaga gol Sang Rusa, Muhamad Aqil Abdul Razak.
90 saat selepas itu, Dylan Wenzel-Halls pantas menyudahkan hantaran tonggak Harimau Malaya, Syamer Kutty Abba untuk gol kedua Harimau Kumbang. Ini juga gol pertamanya untuk Penang selepas menyertai kelab itu dari juara A-League, Central Coast Mariners.
Avanzini memastikan kedua-dua pasukan terikat 2-2 menerusi satu sepakan deras dari luar kotak penalti pada minit akhir babak pertama.
Bersambung pada separuh masa kedua, Penang terus berusaha menggugat gawang Negeri Sembilan yang dikawal Aqil.
Pengendali Penang, Akmal Rizal Ahmad Rakhli kemudiannya memasukkan Izzat Zikri Iziruddin pada minit ke-65. Ini selepas kapten, Khairu Azrin Khazali terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan.
Tidak mahu gawangnya dibolosi buat kali ketiga, pengendali Negeri Sembilan, K. Nanthakumar memasukkan An Sang-su untuk menambah perlindungan di bahagian pertahanan.
Kedua-dua pasukan terus berusaha mencari gol kemenangan tetapi keputusan 2-2 kekal sehingga tamat perlawanan. Keputusan ini menyaksikan Harimau Kumbang dan Sang Rusa masing-masing kekal di tangga kesembilan dan ke-12 selepas mengutip 11 dan 5 mata.
Selepas ini, Negeri Sembilan bakal menerima kunjungan Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) pada 27 September. Manakala Penang pula bertandang ke Cheras untuk menghadapi cabaran KL City.