Saingan Liga Super kembali bersambung setelah tugasan antarabangsa selesai dengan Johor Darul Ta’zim (JDT) berpesta gol membenam cabaran Penang.
Masih segar dengan kejayaan menjulang Piala FA hujung bulan lalu, JDT kembali ke gelanggang keramat untuk menerima kunjungan pasukan dari utara tanah air, Penang.
Pengendali JDT, Hector Bidoglio merehatkan Bergson Da Silva sambil menyenaraikan empat pemain import baharu manakala Dylan Wenzel Halls menjadi sandaran Penang di jentera serangan.
Sebaik wisel dibunyikan, JDT hanya memerlukan dua minit untuk meledak gol pertama menerusi Oscar Arribas yang berjaya menggelecek melepasi pemain Penang sebelum menewaskan Sikh Izhan.
Pelawat berpeluang menyamakan kedudukan di minit ke-20 hasil rembatan kencang Wenzel-Halls namun Syihan Hazmi bertindak cemerlang menepis percubaan tersebut.
Jorge Obregon membuka akaun gol bersama JDT dalam saingan liga dengan melepaskan satu rembatan leret yang padu untuk menembusi gawang Penang buat kali kedua.
Harimau Selatan miliki peluang terbaik untuk menambah jaringan ketiga di penghujung babak pertama akan tetapi sepakan penalti Arif Aiman tinggi melewati palang gol.
Separuh masa pertama tamat, JDT 2-0 Penang.
Empat minit bersambung babak kedua, Obregon semakin berbisa dengan gol ke-3 buat pasukan tuan rumah setelah mudah menyambar bola muntah yang gagal diselamatkan Sikh Izhan.
Kemasukan Bergson Da Silva menambah sengat buat JDT apabila penyerang kelahiran Brazil itu menyempurnakan sepakan penalti dan meletakkan tuan rumah mendahului 4-0 pada minit ke-65.
Satu lagi sepakan penalti dihadiahkan oleh pengadil buat JDT di masa tambahan dan tugasan itu disempurnakan dengan tenang oleh Arif Aiman untuk menebus kesilapan di babak pertama.
Aksi di Stadium Sultan Ibrahim berakhir dengan keputusan 5-0 memihak JDT.
Selepas ini, JDT bakal terbang ke China untuk menentang Shanghai Port dalam perlawanan pertama AFC Champions League Elite pada 18 September di Pudong Stadium.
Sementara Penang akan kembali ke Pulau Mutiara untuk menanti kunjungan Negeri Sembilan di Stadium Bandaraya dalam saingan Liga Super pada 22 September hadapan.