Selangor terpaksa akur diikat seri oleh Penang dalam aksi Liga Super pada Ahad.
Setelah berjaya menumpaskan lawan yang sama minggu lalu dalam aksi MFL Challenge Cup, Selangor sekali lagi bertemu Penang di Stadium Bandaraya dalam saingan Liga Super.
Pengendali Selangor, Katsuhito Kinoshi menurunkan barisan terbaik seperti Ronnie Fernandez dan Alvin Fortes manakala Syamer Kutty Abba menjadi tunjang jentera tengah Penang.
Seawal minit ke-10, Selangor berada di hadapan menerusi voli separa badan oleh penyerang sensasi, Ronnie Fernandez setelah menerima hantaran Quentin Cheng dari sayap kanan.
Tiada jaringan yang terhasil selepas itu meskipun Penang tampak terdesak bagi mencari gol sepanjang babak pertama namun dihampakan dengan ketumpulan jentera serangan.
Separuh masa pertama tamat, Penang 0-1 Selangor.
Kembali dari rehat, tuan rumah lebih giat untuk menembusi gawang Selangor yang dikemudi Kalamullah namun usaha tersebut dinafikan oleh keampuhan benteng The Red Giants.
Impian Selangor untuk membawa pulang 3 mata terkubur di saat akhir apabila Rafael Vitor menyamakan kedudukan hasil sepakan penalti di masa tambahan untuk Penang meraih 1 mata.
Aksi di Stadium Bandaraya berakhir dengan keputusan seri 1-1.