Advertisement
Liga Super: Penang Rantai Tentangan Melaka United
Dunia
MakanBola
MELAKA UNITED

Perlawanan kedua saingan Liga Super 2022 menyaksikan pertembungan di antara Penang FC menentang Melaka United di Stadium Bandaraya Pulau Pinang.

Gol pembukaan perlawanan hadir menerusi Danial Asyraf susulan hantaran lolos daripada Faiz Mazlan pada minit ke-27 permainan. Larian deras Danial membuahkan hasil setelah rembatannya kencang dan menewaskan penjaga gol Melaka United, Nor Azlan Razali.

Sebelum babak pertama tamat, Melaka United berjaya menyamakan kedudukan hasil gol sendiri daripada kapten pasukan Penang, Latiff Suhaimi. Sepakan penjuru yang diambil Sony Norde berjaya ditanduk kemas Haziq Fuad sebelum terbias ke dalam gawang Penang menerusi Latiff.

Separuh masa pertama perlawanan memperlihatkan kedua-dua pasukan terikat dengan jaringan 1-1.

Menjelang babak kedua permainan, kedua-dua pasukan dilihat saling bertukar serangan dan hantaran untuk memaksa lawan masing-masing melakukan kesilapan. Pasukan pelawat, Melaka United dilihat lebih gemar melancarkan serangan daripada bahagian tengah padang.

Banyak percubaan deras dari luar kotak penalti yang dihasilkan pemain Melaka United, namun penjaga gol Penang FC, Khatul Anuar memainkan peranan penting, cekap menepis setiap percubaan yang dihasilkan.

Percaturan Thomas Trucha apabila memasukkan Jafri Chew dan Azim Rahim untuk memperkuat barisan serangan tidak berjaya menatijahkan jaringan. Kedua-dua pasukan buntu dalam mencari jaringan tambahan sekaligus memaksa mereka berpuas hati dengan berkongsi mata.

Perlawanan tamat, Penang 1-1 Melaka United.