Sabah FC terus memburu Selangor FC yang menduduki tangga kedua liga dengan menewaskan Negeri Sembilan FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.
Selepas diikat 1-1 dengan Sri Pahang FC dalam aksi separuh akhir pertama Unifi Piala Malaysia, Sang Badak mahu bangkit meraih kemenangan dalam liga.
Sang Rusa pula mahu meneruskan momentum kemenangan selepas mengalahkan Sri Pahang 2-1 pada 10 Januari lalu.
Pengendali Negeri Sembilan, K. Nanthakumar menurunkan pemain Korea Selatan, An Sang-su sebagai pengganti Sebastian Avanzini.
Jurulatih Sabah, Martin Stano memberi kepercayaan kepada Darren Lok, Saddil Ramdani dan Jafri Firdaus Chew untuk merobek gawang tuan rumah.
Separuh masa pertama menyaksikan Negeri Sembilan berusaha menggegar jaring pelawat seawal minit keempat menerusi Takumi Sasaki.
Percubaan pemain sayap Jepun itu dinafikan penjaga gol Sabah, Damien Lim. Sebaliknya, pelawat terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi Saddil seminit selepas itu.
Stuart Wilkin hampir menggandakan kelebihan Sang Badak pada minit ke-11 menerusi satu rembatan dari luar kotak penalti. Percubaan deras beliau berjaya dinafikan penjaga gol Negeri Sembilan, Aqil Razak.
Negeri Sembilan berusaha mencari gol penyamaan tetapi keputusan 1-0 kekal sehingga rehat.
Bersambung selepas rehat, Sang Rusa berusaha memberi tekanan untuk mendapatkan gol penyamaan.
Mereka hampir melakukannya pada minit ke-61 menerusi Hein Htet Aung. Malangnya, percubaan pemain sayap Myanmar itu disekat Ko Kwang-min sebelum menerjah jaring Sabah.
Stano kemudiannya memasukkan penyerang Brazil, Joao Pedro untuk menambah ketajaman di bahagian serangan Sabah pada minit ke-62.
Percaturan jurulatih Sang Badak itu membuahkan hasil apabila Pedro menyumbat gol kedua pelawat 10 minit selepas itu.
Tatkala Sabah menyangka mereka dapat menambah satu lagi rekod tanpa bolos dalam liga, Htet Aung menyumbat gol ketiganya buat Negeri Sembilan pada minit ke-85.
Sang Rusa terus memberi tekanan kepada Sabah tetapi keputusan 2-1 kekal sehingga tamat perlawanan. Keputusan ini menyaksikan Sabah mengumpul 32 mata, enam mata di belakang Selangor.
Negeri Sembilan pula kekal di tangga ke-12 dengan sembilan mata, enam mata di belakang Penang FC yang menduduki tangga ke-11.
Selepas ini, Sang Rusa akan menentang Terengganu pada 9 Februari. Sabah pula mengalihkan fokus kepada aksi separuh akhir kedua Unifi Piala Malaysia menentang Sri Pahang pada 2 Februari.