Advertisement
Liga Super: Sabah ‘Takluk’ Borneo, Kecewakan Kuching City
Liga Super
MakanBola
Sabah FC

Saingan Liga Super pada Khamis menyaksikan pertemuan Derbi Borneo yang penuh drama di antara Kuching City dan Sabah berjaya dimenangi oleh skuad Sang Badak.

Aksi derbi Borneo ini menjadi tumpuan dengan Kuching City membawa rekod empat aksi tanpa tewas sementara Sabah pula hadir dengan momentum 6 kemenangan berturut-turut.

Kesebelasan utama Kuching City dibarisi nama-nama hebat seperti Danial Amier serta Hazwan Bakri sementara barisan pemain Sabah diketuai pertahanan negara, Dominic Tan.

Perlawanan bermula seimbang dengan Kuching City dilihat lebih banyak menguasai bola di bahagian tengah sekaligus memberi tekanan hebat buat benteng pertahanan Sabah.

Peluang terbaik buat Kuching City memecah kebuntuan hadir menerusi tandukan Ramadhan Saifullah di penghujung babak pertama namun ditanduk keluar Dominic di atas garisan gol.

Separuh masa pertama tamat, Kuching City 0-0 Sabah.

Kembali dari rehat, giliran Sabah pula menguji gawang tuan rumah apabila percubaan Saddil Ramdani melepasi palang ketika penjaga gol lawan, Shahril Sa’ari sudah pun tertewas.

Darren Lok turut berpeluang mencipta gol pertama apabila tandukan penyerang Sabah ini sekadar mengenai palang berpunca dari situasi kelam kabut di dalam kotak penalti.

Jaringan yang dicari akhirnya tiba apabila sepakan percuma Saddil Ramdani berjaya menggelirukan Shahril Sa’ari untuk menembusi gawang The Cats buat kali pertama pada aksi ini.

Ketika aksi berbaki 8 minit, usaha Kuching City membuahkan hasil apabila pemain gantian, Zahril Nizwan melepaskan satu voli deras untuk menyamakan kedudukan buat Kuching City.

Kegembiraan itu tak bertahan lama apabila sepakan penjuru Farhan Roslan disambar oleh Gabriel Peres untuk kembali meletakkan The Rhinos di hadapan empat minit berselang.

Drama berlaku ketika masa tambahan apabila Gabriel Peres dilayangkan kad kuning kedua oleh pengadil, Khairulsyahmi Ahmad Khalidi difahamkan akibat keluar dari benteng lebih awal.

Aksi di Stadium Negeri berakhir dengan kemenangan buat Sabah dengan keputusan 2-1.

Selepas ini, kedua-dua pasukan akan bertemu sekali lagi dalam aksi suku akhir Piala Malaysia dengan perlawanan pertama berlangsung di Kuching pada 15 Disember.