Advertisement
KL City Lawan JDT, Kuching City Halangan Terbaru Sabah
Piala Malaysia
MakanBola
JST/KUFC

Saingan suku akhir Piala Malaysia musim 2024-2025 bakal menyaksikan pertemuan menarik melibatkan 4 pasukan iaitu KL City, Johor Darul Ta’zim (JDT), Kuching City dan Sabah.

Kejohanan Piala Malaysia membuka tirai pada 20 November lalu dengan aksi pusingan 16 berlangsung membabitkan 13 pasukan dari Liga Super dan tiga kelab dari Liga A1 Semi Pro.

Diadakan secara timbal balik, aksi pusingan 16 Piala Malaysia menyaksikan beberapa pasukan pilihan berhasil menempah tiket ke suku akhir antaranya finalis musim lalu, Terengganu dan JDT.

Selain itu, keputusan mengejut turut berlaku seawal pusingan 16 apabila naib juara Liga Super 2023, Selangor tewas 2-3 di tangan Sri Pahang secara agregat di Kelana Jaya pada Ahad.

Selain JDT dan Terengganu, enam lagi pasukan iaitu KL City, Sabah, Perak, Sri Pahang, Kuching City dan Negeri Sembilan melengkapkan 8 pasukan yang layak ke suku akhir.

Di pusingan suku akhir nanti, JDT selaku juara bertahan akan menentang juara Piala Malaysia edisi 2021, KL City manakala Terengganu bakal berdepan ujian dari Negeri Sembilan.

Dua lagi perlawanan menyaksikan Sri Pahang bakal bertemu juara Piala Malaysia 2018, Perak sementara Derbi Borneo di antara Kuching City dan Sabah menghiasi aksi suku akhir.

Perlawanan pertama suku akhir Piala Malaysia dijadualkan berlangsung pada 13 Disember hadapan sementara aksi timbal balik kedua pula bakal diadakan pada 21 Disember.

Untuk makluman, lapan pasukan yang tersingkir di pusingan 16 iaitu Selangor, Kedah, Melaka, KL Rovers, Penang, PDRM, Kelantan Darul Naim dan PT Athletics mara ke Challenge Cup 2024.