Juara Piala Malaysia 33 kali, Selangor FC mengetuai cabaran lapan pasukan dalam saingan MFL Challenge Cup 2024/25.
Selain Selangor, juara bertahan PDRM FC, Kelantan Darul Naim FC (KDN FC), Penang FC dan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) membawa cabaran Liga Super.
Pendahulu Liga A1 Semi-Pro, Melaka FC, KL Rovers FC dan PT Athletic FC pula membawa cabaran liga itu dalam saingan MFL Challenge Cup. Kesemua lapan pasukan ini beraksi selepas tersingkir pada pusingan 16 terbaik Piala Malaysia 2024/25.
Selangor disingkirkan satu lagi pasukan bekas juara Piala Malaysia, Sri Pahang FC dengan keputusan agregat 3-2. Penalti Manuel Hidalgo dan Sergio Aguero memastikan Tok Gajah ceria di Stadium MBPJ.
The Cops pula menjadi mangsa kebangkitan Negeri Sembilan FC di Stadium Selayang. Selepas tewas 2-1 dalam aksi pertama, skuad Rusa menyumbat tiga gol menerusi Hadin Azman, A. Selvan dan gol sendiri Eizrul Ashraf Nor Effendy.
Kisah sama turut menimpa Kedah. Selepas tewas 3-2 dalam aksi pertama, KL City FC bangkit untuk merekodkan kemenangan 4-1 ke atas Sang Kenari sekaligus menempah tiket ke suku akhir.
Kelantan DN pula terpaksa akur dengan kehandalan juara Piala Malaysia 2018, Perak FC. The Bos Gaurus meraih kemenangan agregat 6-1 untuk menempah tiket ke suku akhir.
Naib juara MFL Challenge Cup 2023, Kuching City FC memastikan mereka bakal berentap dengan Sabah FC di peringkat suku akhir. Ini selepas The Cats menyingkirkan Penang dengan keputusan agregat 3-0.
Melaka FC pula tewas di tangan juara Piala Malaysia 2001, Terengganu FC dengan keputusan agregat 4-1. Selepas tewas 4-1 di Stadium Hang Jebat, anak buah K. Devan memastikan kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan dalam aksi kedua.
KL Rovers dan PT Athletic menjadi mangsa belasahan dua pasukan gergasi Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Sabah FC. Ketajaman serangan JDT terserlah apabila pasukan itu meraih kemenangan agregat 13-0 ke atas KL Rovers.
Meskipun terpaksa beraksi di Lembah Klang, itu bukan halangan buat Sabah merekodkan kemenangan agregat 7-0 ke atas PT Athletic.