Juara bertahan Piala Malaysia, Johor Darul Ta’zim (JDT) mengetuai kemaraan lapan pasukan ke peringkat suku akhir kejohanan itu.
Selain JDT, Terengganu FC, Perak FC, KL City FC, Kuching City FC, Negeri Sembilan FC, Sri Pahang FC dan Sabah FC turut mengesahkan kemaraan ke peringkat sama.
JDT mara selepas menyingkirkan naib juara Liga A1 Semi-Pro 2023, KL Rovers FC dengan keputusan agregat 9-0. Harimau Selatan meraih kemenangan besar 6-0 ke atas KL Rovers dalam aksi kedua pusingan 16 terbaik.
Gol Bergson da Silva, Jese Rodriguez, Corbin Ong, Mohamadou Sumareh dan gol sendiri Raffi Nagoorgani sudah cukup untuk membawa JDT ke pusingan seterusnya.
Terengganu mengesahkan tiket ke suku akhir meskipun diikat tanpa jaringan oleh Melaka FC dalam aksi kedua pusingan 16 terbaik di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA).
Ini kerana skuad Peteh memiliki kelebihan agregat 4-1. Kelebihan itu diraih apabila menewaskan anak buah K. Devan di Stadium Hang Jebat pada 23 November lalu.
KL City pula meraih kemenangan agregat 6-4 ke atas Kedah Darul Aman FC (KDA FC). Ini dicapai selepas The City Boys meraih kemenangan 4-1 dalam aksi kedua pusingan 16 terbaik.
Paulo Josue, Jovan Motika, Ryan Lambert dan Zhafri Yahya mencetak nama sebagai penjaring bekas juara Piala Malaysia 2021 itu. Milos Gordic menyumbat gol saguhati buat Sang Kenari.
Perak mudah mengesahkan kemaraan selepas meraih kemenangan agregat 6-1 ke atas Kelantan Darul Naim FC (KDN FC). Kemenangan 3-0 di Manjung pada 30 November lalu membawa anak buah Yusri Che Lah ke pusingan seterusnya.
Aksi ini juga cukup istimewa buat pemain import Perak, Lee Tae-min. Ini kerana aksi menentang Kelantan DN merupakan aksi terakhirnya sebelum meninggalkan The Bos Gaurus.
Kuching City terus mempamerkan peningkatan pada musim 2024/25. Naib juara MFL Challenge Cup itu mara ke suku akhir selepas merekodkan kemenangan agregat 3-0 ke atas Penang FC.
Gol Tchetche Kipre dan Ramadhan Saifullah di Kuching pada 30 November lalu memastikan perjuangan The Cats dalam Piala Malaysia terus membara.
Negeri Sembilan mempamerkan kebangkitan menakjubkan dalam aksi kedua pusingan 16 terbaik menentang PDRM FC. Selepas tewas 2-1 kepada The Cops pada 24 November, anak buah K. Nanthakumar bangkit di Selayang.
Gol Hadin Azman, A. Selvan dan gol sendiri Eizrul Ashraf Nor Effendy memastikan skuad Rusa mara dengan kelebihan agregat 4-2.
Pertembungan dua bekas juara Piala Malaysia, Selangor FC dan Sri Pahang buat kali kedua pada 1 Disember lalu berakhir dengan kejayaan buat Tok Gajah. Penalti Manuel Hidalgo dan Sergio Aguero memastikan Selangor tersingkir awal buat kali pertama sejak 2018.
Ini juga kekalahan kedua buat pengendali baharu Selangor dari Jepun, Katsuhito Kinoshi. Ini selepas pasukan itu tunduk kepada Muangthong United dalam saingan Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2).
Sabah menjadi pasukan terawal menempah tiket suku akhir Piala Malaysia. Ini selepas pasukan itu menyingkirkan kelab Liga A1 Semi-Pro, PT Athletic dengan kemenangan agregat 7-0.
Meskipun pihak lawan dibarisi ramai pemain berpengalaman termasuk Amri Yahyah dan Indra Putra Mahayuddin, Sang Badak memastikan tiket suku akhir menjadi milik mereka.
Suku akhir Piala Malaysia menyaksikan Negeri Sembilan berentap dengan Terengganu. Selepas berjaya menyingkirkan Selangor, Sri Pahang berpeluang menyingkirkan satu lagi bekas juara Piala Malaysia, Perak.
Aksi derby Borneo mewarnai aksi suku akhir membabitkan Sabah dan Kuching City. Memori aksi final Piala Malaysia 2021 kembali meniti di bibir penyokong apabila JDT menentang KL City dalam satu lagi aksi suku akhir.
Kesemua aksi suku akhir bakal berlangsung pada 13 Disember ini. Lapan pasukan yang tersingkir termasuk juara bertahan MFL Challenge Cup, PDRM pula berentap untuk menentukan juara baru untuk edisi 2024/25.