Kelab Brunei DPMM FC sah mewarnai cabaran Liga Super musim 2025/26.
Sebelum ini, sudah timbul desas-desus kelab itu akan menyertai Liga Super selepas selesai kempen mereka dalam Singapore Premier League (SPL) musim 2024/25.
Khabar ini kemudiannya diperkuatkan dengan langkah DPMM membawa masuk dua pemain untuk musim 2025/26 iaitu Fairuz Zakaria dan Ramadhan Sananta.
Kini, Malaysian Football League (MFL) mengesahkan DPMM menyertai Liga Super selaku pasukan jemputan selepas mendapat kelulusan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
DPMM bukan asing dalam kancah bola sepak tempatan. Pasukan Brunei pada ketika itu menyertai pertandingan Piala Malaysia pada 1979 buat kali pertama dan kemudian Liga Semi-Pro pada 1989.
Sebelum ini, Brunei pernah menjulang trofi Piala Malaysia 1999 dengan menewaskan Sarawak 2-1 di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.
Rekod terbaik DPMM dalam Liga Super pula ialah tangga ketiga pada musim 2005/06. Kali terakhir DPMM mengharungi cabaran Liga Super ialah tahun 2008.