Selangor membuka tirai Liga Super Malaysia 2026-2027 dengan langkah kanan apabila menumbangkan Kelantan Red Warrior di Kota Bharu pada Sabtu.
Kemenangan 4-1 dilakar Selangor dalam perlawanan pembukaan musim ini selepas dua jaringan daripada Faisal Halim dan Chrigor Moraes meleburkan tentangan Kelantan RW yang melakukan penampilan sulung di pentas Liga Super Malaysia.
Barisan utama menjadi taruhan Kim Pan-gon dengan Faisal Halim memakai lilitan kapten untuk pasukan Selangor pada aksi ini sementara Kelantan RW menampilkan duo Emmanuel Mbarga serta Philip Musa di jentera serangan.
Walaupun perlawanan bermula sedikit lewat akibat potensi hujan dan ribut petir, namun itu tidak menghalang tumpuan Selangor untuk membuka tirai jaringan pada minit ke-18 menerusi tandukan kencang oleh Chrigor Moraes.
Tuan rumah terus tersentak apabila Faisal Halim menggandakan kelebihan buat Selangor menerusi gol kedua pasukan selang 10 minit kemudian bagi membolehkan pelawat memasuki bilik persalinan bersama jurang dua gol.
Nama Faisal Halim sekali lagi tercatat selaku penjaring apabila separuh masa kedua bersambung setelah tonggak kebangsaan itu dengan tenang menewaskan penjaga gol Kelantan RW, Nik Amin untuk Selangor terus selesa.
Pemain sayap lincah, Philip Musa berjaya merapatkan jurang dengan gol pertama Kelantan RW pada minit ke-61, sebelum Chrigor Moraes tampil mengganas dengan gol ke-4 Selangor sekali gus mengakhiri aksi dengan keputusan 4-1.